KECOH di media sosial berhubung beberapa insiden melibatkan aktiviti pembakaran bunga api sempena sambutan Aidilfitri.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan kejadian letupan bunga api yang tidak terkawal di bazar Ramadan di Sungai Petani yang mencemaskan pengunjung lokasi perniagaan tersebut.
Susulan kejadian itu, polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kejadian membakar mercun di tempat terbuka yang boleh membahayakan nyawa berhampiran Dataran Jam Besar, Jalan Badlishah, awal pagi Selasa.
BACA LAGI: Raya tanpa air, penduduk Johor dan Pahang mengadu masalah tiada penghujung
Kejadian letupan bunga api dan mercun di Sungai Petani, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan itu masing-masing berusia 27 tahun (penjual mercun) dan 24 tahun (membakar mercun) ditahan di rumah masing-masing pada petang Selasa.
Insiden sama berulang dipercayai berlaku di Alor Setar, Kedah pada awal pagi Rabu apabila sekumpulan individu bermain bunga api sehingga mengundang bahaya kepada orang ramai terutamanya pengguna jalan raya.
Difahamkan, individu terlibat 'berperang' apabila saling berbalas melemparkan atau membakar bunga api ke arah lawan masing-masing.
Tindakan mereka itu mengundang padah apabila anggota polis yang berkawal di lokasi kejadian bertindak pantas menahan beberapa suspek.
Namun keadaan jadi bertambah buruk apabila ada pihak senjaga membakar bunga api ke arah anggota keselamatan yang sedang menjalankan tugas mereka.
Situasi tersebut sekali gus menimbulkan panik dan rasa takut pengunjung, peniaga termasuk anggota keselamatan yang bertugas di kawasan terbabit.
BACA LAGI: Hilang ditelan zaman, munjung antara 4 tradisi masyarakat Jawa makin dilupakan ketika Aidilfitri
Susulan itu, warganet meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap individu terlibat dengan menyifatkan tindakan kurang matang itu boleh membahayakan nyawa orang lain.
Malah tidak mustahil kata mereka bahawa kerajaan boleh menarik semula lesen penjualan bunga api secara terbuka jika insiden sama berulang.
Rata-rata netizen turut tidak ketinggalan memberi amaran kepada semua individu terlibat supaya tidak menyesal di kemudian hari.
"Dah bagi mercun tapi berlebih ajar pula. Geng 'sunat laser' ni jangan nak salahkan polis kerana tunjuk konon meriah di negeri masing-masing," komen Mech Mech.
"Niat nak tengok bunga api sebab dah ada lesen, tapi bertukar tragedi dan kenangan pahit pula," tulis Tuk D Ori.
Sebelum ini, sebanyak 123 permit atau lesen berniaga bunga api diluluskan pada musim perayaan Aidilfitri ini.
Namun, pihak polis juga dilaporkan menerima sebanyak 17 kes dan empat tangkapan berkaitan Akta Bahan Letupan sepanjang tempoh perayaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram