[VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran


  • Benua
  • Ahad, 14 Apr 2024

Pangkalan Udara Navatim menjadi sasaran serangan peluru berpandu balistik yang dilepaskan IRGC pada Ahad. — Agensi

PANGKALAN Udara Navatim milik Israel menjadi sasaran serangan peluru berpandu balistik yang dilepaskan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Ahad.

Media Israel mengesahkan bahawa beberapa roket mengenai Gurun Negev yang merupakan lokasi pangkalan udara itu.

Serangan itu dilancarkan Pasukan Aeroangkasa IRGC dan unit lain Angkatan Tentera Iran, sebagai tindak balas kepada pencerobohan Israel yang menyasarkan Kedutaan Iran di Damsyik pada 1 April lalu.

Pangkalan dengan landasan sepanjang 3,400 meter dan hangar adalah pangkalan utama rejim Zionis yang menempatkan pesawat canggih buatan Amerika Syarikat (AS) iaitu F-35.

Ketika menjalani latihan simulasi pada Februari lalu, Tentera Udara IRGC menjadikan pangkalan udara yang terletak kira-kira 1,100 kilometer (km) dari sempadan Iran sebagai sasaran serangan.

Majoriti sebelum ini melaporkan, lebih 200 dron dan peluru berpandu dilancarkan ke atas Israel pada Sabtu.

Serangan di bawah operasi 'Janji Sejati' itu adalah sebahagian daripada hukuman untuk jenayah yang dilakukan Israel.

Dua sumber keselamatan di Iraq berkata, berpuluh-puluh dron dikesan terbang dari Iran ke arah Israel di atas ruang udara Iraq.

Iran berikrar membalas dendam atas serangan Israel ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April yang menyaksikan pembunuhan tujuh pegawai Pengawal Revolusi termasuk dua komander kanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram