MISI besar diletakkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang musim baharu apabila terus membuat persiapan dengan membawa masuk wajah-wajah baharu di samping mengadakan latihan pramusim.
Setakat ini, perancangan mereka berjalan lancar dengan siri-siri kemenangan dalam aksi persahabatan berdepan beberapa kelab Thailand dan Singapura.
Penyokong pasti teruja dengan persiapan itu kerana masing-masing berasakan skuad Harimau Selatan sudah bersedia untuk berentap di pentas Asia musim depan.
Tetapi, masih terdapat persoalan yang timbul apabila ada daripada mereka tertanya-tanya akan ketiadaan beberapa tonggak yang tidak kelihatan dalam sesi latihan dan aksi persahabatan.
Mereka yang dimaksudkan ialah Matt Davies, Junior Estdal dan Bergson da Silva dengan masing-masing dijangka memikul peranan besar buat pasukan pada saingan akan datang.
BACA LAGI: [VIDEO] Faktor usia, pengalaman paksa JDT sambar GK 'bertopeng'
Kepulangan Bergson pastinya dinanti-nantikan penyokong skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagaimanapun, selepas hampir tiga bulan sesi pramusim diadakan, ketiga-tiga pemain tersebut hanya beberapa kali kelihatan berbanding rakan sepasukan lain.
Ketiadaan mereka pasti akan membawa kegusaran, lebih-lebih lagi buat Bergson yang sudah tiga tahun menjadi penyerang utama JDT baik di peringkat domestik mahupun Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Namun, dalam perkembangan baharu, difahamkan kesemua mereka sudah hampir untuk kembali ke padang latihan bagi meneruskan sesi latihan dengan skuad utama.
"Matthew Davies dan Junior Eldstal sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Tinggal Bergson seorang saja yang sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan kecil," tulis Empayar Darul Takzim - EDT di Facebook.
BACA LAGI: Mahu hargai legenda, JDT ingin bawa pulang bintang Singapura
Davies (kanan) sudah kembali menyertai sesi latihan bersama skuad utama JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Penyerang kelahiran Brazil tersebut dikatakan bergelut dengan isu kecederaan dan kecergasan sejak awal musim lalu sehingga menyaksikannya sering disisihkan.
Ia bagaimanapun tidak menghalangnya daripada terus membawa ancaman dalam jentera serangan JDT setelah merekodkan 19 jaringan daripada 22 penampilan Liga Super.
Davies dan Estdal pula dilaporkan mengalami kecederaan kecil sebelum ini yang menyaksikan mereka disisihkan daripada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman.
Tetapi, sekiranya masing-masing sudah kembali ke tahap kecergasan terbaik, ia pasti menjadi berita baik buat JDT yang terus mengharapkan kelibat mereka dalam benteng pertahanan pasukan.
Skuad Harimau Selatan selepas ini bakal bertolak ke Eropah untuk sesi pramusim dengan Sepanyol dan Portugal difahamkan menjadi pilihan pihak pengurusan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram