SEJAK dari usia belasan tahun, nama Rodrygo telah menjadi rebutan banyak kelab utama di dunia. Persembahan cemerlangnya bersama-sama Brazil membuatkan namanya ampuh dan dianggap bakal menjadi bintang handalan.
Oleh itu, tidak hairan jika pelbagai kelab terutamanya mereka di Eropah untuk mendapatkannya. Dan kini ia terbukti apabila Rodrygo menjadi antara bintang utama skuad Real Madrid.
Rodyrgo menjadi antara unit serangan berbahaya kelab itu bersama-sama Vinicius Jr, Jude Bellingham serta Aurelien Tchouameni di Real dan dilihat bakal menjajah bola sepak dunia dalam masa beberapa tahun akan datang.
Tetapi sebenarnya, bintang antarabangsa Brazil itu mungkin tidak akan berkawan dengan Vinicius atau Bellingham. Sebaliknya, dia akan bergandingan dengan Mohamed Salah, Darwin Nunez serta Diogo Jota di England.
Hal ini kerana, Rodrygo mendedahkan yang dia sebenarnya pernah dikejar oleh Liverpool ketika usianya 16 tahun. Malah, jika perpindahan itu terjadi, Liverpool dapat meraih seorang pemain dengan harga cukup rendah iaitu €3 juta (RM15 juta).
BACA LAGI: Lega FIFA benarkan daftar pemain, tiba masanya kepak Kenari penuhkan Darul Aman
Rodyrgo (kanan) hampir menjadi pemain Liverpool pada usia 16 tahun. — Agensi
BACA LAGI: Mahu hargai legenda, JDT ingin bawa pulang bintang Singapura
Rodrygo mendedahkan yang dia menerima tawaran yang cukup lumayan oleh Liverpool sewaktu bersama Santos. Namun begitu, dia memilih untuk terus kekal di Brazil bagi menamatkan pelajarannya.
"Kami tidak sahkan perpindahan itu kerana saya yang tidak mahu. Saya mahu kekal di Santos walaupun tawaran Liverpool cukup bagus.
"Perkembangan kerjaya yang mereka janjikan cukup baik untuk karier saya. Perancangannya, saya akan tamatkan pengajian di England sebelum terlibat dalam bola sepak Eropah," kata Rodrygo.
Rodrygo berkata yang dia menurut kata hati untuk kekal di Brazil walaupun berminat untuk beraksi di Eropah. Nyata, keputusan tersebut memberikan kebaikan buat dirinya serta Santos.
Hal ini kerana, selepas menolak tawaran Liverpool, dia berpindah ke Real tetapi dengan jumlah perpindahan lebih tinggi iaitu €45 juta (RM230 juta).
"Ia memang impian saya untuk beraksi di Eropah. Semuanya (tawaran Liverpool) sangat bagus tapi kata hati saya lebih kuat. Saya mahu kekal di Santos dan mencipta sejarah bersama kelab.
"Dan itulah yang terjadi, saya berjaya memenuhi impian saya bermain untuk Santos. Dan ia benar, saya begitu hampir untuk sertai Liverpool," ujar Rodyrgo. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram