[VIDEO] Faktor usia, pengalaman paksa JDT sambar GK 'bertopeng'


  • Podium
  • Rabu, 10 Apr 2024

Orang ramai masih berteka-teki mengenai identiti rekrut baharu JDT di laman media sosial. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

MISTERI mengenai rekrut baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) masih belum terungkai sehingga kini apabila orang ramai masih berteka-teki akan identitinya.

Dalam satu video pengumuman jersi baharu penjaga gol, seseorang bertopeng hitam sambil mengenakan baju ungu menimbulkan 1,001 persoalan di media sosial.

Bagi sesetengah penyokong, pemain baharu skuad Harimau Selatan merupakan penjaga gol Filipina, Neil Etheridge yang berpengalaman di Eropah sebelum ini.

Meskipun tidak pernah mewakili pasukan ternama, dia yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Cardiff City pasti dikehendaki JDT musim depan.

Selain itu, ada daripada penyokong berasakan pemain misteri berkenaan merupakan bekas benteng terakhir Villarreal dan Atletico Madrid, Sergio Asenjo yang kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan.

BACA LAGI: Misteri GK bertopeng terungkai? Kelibat penjaga gol Itali dikesan saksikan JDT benam Lion City Sailors

Usianya yang sudah mencecah 34 tahun pasti sesuai untuk beraksi bersama skuad Harimau Selatan dengan kecekapan pernah dipamerkan satu ketika dahulu cukup berharga dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit.

Tetapi, masih terdapat persoalan mengenai hasrat juara Liga Super itu untuk mendapatkan seorang penjaga gol kerana masih memiliki Syihan Hazmi.

Meskipun rekrut baharu berkenaan boleh diturunkan di pentas Asia sahaja, Syihan juga pasti memerlukan pengalaman berbeza untuk meningkatkan lagi kualitinya.

Bagaimanapun, perancangan JDT sememangnya sukar dipersoalkan kerana mereka sering melakukan aktiviti perpindahan yang terbaik setiap kali jendela dibuka.

Perkara itu turut disokong Majoriti kerana dirasakan terdapat tiga sebab skuad Harimau Selatan masih bercita-cita untuk menyambar seorang penjaga gol.

1. Pengalaman di pentas tertinggi

Jika dilihat daripada perancangan perpindahan JDT setakat ini, mereka cukup gemar mendapatkan seorang pemain yang sudah membuktikan dirinya di pentas tertinggi.

Antara contoh terbaik adalah ketika mereka menyambar Heberty daripada Bangkok United setelah penyerang tersebut menjadi antara penjaring terbaik dalam Liga Thai.

Jadi, tidak hairanlah apabila mereka mahu mengulangi langkah berkenaan dalam mendapatkan seorang penjaga gawang dengan calon dikaitkan sudah memenuhi kriteria itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Identiti penjaga gol bertopeng JDT cetus tanda tanya, GK Filipina jadi sebutan

neil-etheridge-copy_F13C56882AC64064B9AF22ED68DA2296

Pengalaman Etheridge beraksi di EPL pasti sukar ditolak mana-mana pasukan. Agensi

Seperti dikatakan di atas, Etheridge yang pernah beraksi di England sudah pasti cukup dimahukan dengan pengalamannya beraksi di EPL cukup berharga.

Asenjo yang turut dikaitkan memiliki latar belakang cukup menarik setelah bertahun-tahun membuktikan nilai dalam La Liga serta saingan di peringkat Eropah.

Oleh itu, JDT pasti mahu meneruskan langkah itu dengan kehadiran salah seorang daripada mereka akan melengkapkan jendela perpindahan yang bergaya dipamerkan kali ini.

2. Rekod Syihan di Asia

Musim lalu, JDT mencatatkan satu rekod baharu Liga Super apabila hanya melepaskan tujuh gol dengan ia merupakan rekod baharu dalam sejarah tanah air.

Pencapaian itu diraih berikutan persembahan barisan pertahanan pasukan yang cemerlang sepanjang musim, lebih-lebih lagi Syihan yang merupakan benteng terakhir.

Tetapi, kisah sebaliknya berlaku di ACL kerana mereka gagal mengulangi prestasi memberangsangkan terbabit setiap kali berdepan pasukan sekitar Asia.

405139034_916972116465432_5946970320587499900_n

Syihan masih belum membuktikan nilai sebenarnya di pentas Asia. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Berdasarkan rekod, mereka dibolosi sebanyak 13 kali dalam enam perlawanan dengan lima daripadanya dialami ketika aksi di Jepun menentang Kawasaki Frontale.

Jadi, dalam mengelakkan isu sebegitu berulang, JDT pasti memerlukan seorang yang memiliki rekod cukup baik jika berdepan pasukan dengan jentera serangan berkualiti.

Bagaimanapun, pandangan berkenaan tidaklah menidakkan kualiti Syihan yang masih layak diangkat sebagai salah seorang penjaga gol terbaik di rantau Asia Tenggara ketika ini.

3. Farizal hampiri persaraan

Ketika ini, dua penjaga gol utama JDT merupakan Syihan dan Farizal Marlias dengan masing-masing masih memainkan peranan penting musim lalu.

Bagaimanapun, situasi berbeza semakin hampir dialami Farizal yang semakin menghampiri penghujung kariernya selepas hampir 10 tahun berbakti buat skuad Harimau Selatan.

Usianya yang sudah mencecah 37 tahun serta prestasi tidak menentu setiap kali diturunkan pasti membuatkannya terfikir untuk menggantung but tidak lama lagi.

434841156_993879652108011_8162642417159652205_n

Prestasi Farizal musim lalu beberapa kali dipersoalkan penyokong. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Jadi, dalam memastikan JDT terus memiliki barisan penjaga gol berkualiti, mereka perlu membuat perancangan itu pada jendela perpindahan kali ini.

Selain perlu menyesuaikan diri, langkah lebih awal boleh memberikan masa buat barisan kejurulatihan kelab untuk mengenal pasti prestasi rekrut itu.

Tetapi, dengan Farizal disahkan akan beraksi musim depan, terdapat kemungkinan pemain baharu itu perlu menunggu masa kerana JDT masih mempercayai khidmat anak jati Maran, Pahang itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram