Jodoh di Pantai Timur berakhir, hero Piala MFL TFC disambar kelab amatur


  • Podium
  • Khamis, 11 Apr 2024

Jaringan Isa Raman bantu TFC II julang Piala MFL 2023. — Facebook/MFL

TERENGGANU FC II (TFC) dinobatkan sebagai juara edisi sulung Piala MFL 2023 selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT II) dengan keputusan 1-0 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada November 2023.

Gol tunggal yang memberi TFC II kemenangan Piala MFL ternyata tidak memberi jaminan untuk Muhd Isa Raman kekal bersama skuad Sang Penyu selepas mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan berkenaan pada penghujung musim lalu.

Nama Isa Raman sebelum ini mencanak naik selepas menjadi wira buat skuad kendalian Hairuddin Omar sekali gus memberi kejuaraan buat TFC II dalam perlawanan akhir Piala MFL edisi pertama musim 2023.

Mengimbau kembali detik-detik kejuaraan milik skuad yang berpangkalan di Pantai Timur itu, pada minit ke-82, TFC membuat pertukaran dengan memasukkan Isa Raman bagi menambah sengat di bahagian serangan selepas JDT menguasai permainan.

BACA LAGI: Bukan saja di Malaysia, isu rumput punca Man City, Real Madrid seri

WhatsApp Image 2024-04-11 at 16.02.57

Isa Raman (tengah) sah perkuat jentera serangan Gombak FC musim depan. Instagram/gom_bakfc

BACA LAGI: Reputasi buruk sampai ke FIFA, Sang Kenari belum boleh menarik nafas lega

Ternyata pertukaran yang dilakukan oleh Ketua Jurulatih TFC II, Hairuddin Omar berjaya selepas Isa Raman menjadi duri dalam daging buat JDT II dengan memanfaatkan kesilapan pertahanan Harimau Selatan, Aysar Hadi pada penghujung permainan.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa pemain berusia 23 tahun itu dikhabarkan masih belum dilamar mana-mana pasukan Liga Super selepas Terengganu tidak menyambung kontraknya.

Meskipun begitu, Isa Raman akhirnya boleh menarik nafas lega apabila salah satu kelab amatur mahu mendapatkan khidmatnya.

Ia dianggap sahih menerusi satu hantaran yang dibuat oleh gom_bakfc di Instagram rasmi yang mededahkan bahawa Gombak FC sudah pun menyambar hero TFC itu.

"Penjaring gol kemenangan TFC II ketika menewaskan JDT II pada aksi final Piala MFL 2023, Isa Raman sah memperkuatkan Gombak FA dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim ini," tulisnya di Instagram.

Sepanjang beraksi bersama TFC II bagi musim 2023, Isa Raman melakukan 18 penampilan dalam saingan Piala MFL dengan menjaringkan tiga gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram