Lega FIFA benarkan daftar pemain, tiba masanya kepak Kenari penuhkan Darul Aman


  • Podium
  • Khamis, 11 Apr 2024

Masanya telah tiba untuk penyokong Kedah memenuhkan stadium selepas sekatan perpindahan ditarik balik. — KDA FC

KELEGAAN jelas terpancar buat kelab Liga Super, Kedah Darul Aman FC apabila mereka dibenarkan untuk mendaftarkan pemain bagi musim baharu.

Sebelum ini, Kedah menjadi antara beberapa kelab di Malaysia yang tidak dibenarkan mendaftar pemain baharu akibat dikenakan sekatan perpindahan kerana masalah kewangan.

Namun begitu, sekatan tersebut telah ditarik balik oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA dan ini menjadikan Sang Kenari berpeluang mendaftar kesemua rekrut baharu mereka.

Berita gembira ini disambut baik oleh penyokong Kedah yang menganggap ia seperti hadiah kemenangan Syawal buat mereka. Sudah pasti, berita sekatan perpindahan tersebut menggusarkan mereka menjelang aksi musim baharu.

Kini telah tiba masanya untuk penyokong Sang Kenari membalas budi dengan memenuhi Stadium Darul Aman pada setiap minggu bagi menguatkan kewangan kelab.

BACA LAGI: Mahu hargai legenda, JDT ingin bawa pulang bintang Singapura

BACA LAGI: FIFA tarik balik sekatan, bintang tersisih Pahang dan Perak wajar jadi buruan isi posisi tenat Kedah

"ALHAMDULILLAH, semoga kelab Kedah terus berjaya," ujar penyokong bernama Yusrizal Yusof.

"Jadi kita bagilah sokongan dengan pergi ke stadium setiap kali home game," kata Iman Ibrahim pula.

"Kasi penuh stadium setiap perlawanan," seru Mohd Syafiqzudin kepada semua penyokong Kedah.

Dengan Sang Kenari kini telah diberikan peluang untuk 'hidup' semula oleh FIFA, pastinya penyokong akan berpesan-pesan kepada pihak kelab untuk lebih berhati-hati selepas ini.

Mereka pastinya tidak mahu isu kewangan kelab berulang lagi kerana ia bukan sekali telah terjadi, malah telah banyak kali melanda Kedah.

"Bayar gaji pemain yang beraksi 90 minit di padang, bukan makan rumput," kata penyokong bernama Rahmat Abd Kadir.

"Pesan aku, utamakan gaji pemain dulu jangan nak joli walaupun pakai duit sendiri," ujar Hussin Ahmaf.

Walaupun sekatan yang dikenakan oleh FIFA telah pun ditarik balik, namun hukuman pemotongan tiga mata oleh Malaysian Football League (MFL) masih dikenakan terhadap Kedah.

Selain itu, mereka juga perlu membayar denda sebanyak RM50,000 kepada penganjur liga tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram