KONSEP tawaran beli dulu bayar kemudian atau Buy Now Pay Later (BNPL) yang kini semakin menjadi trend di platform jualan dalam talian dilihat boleh menjadi punca orang ramai terjerat dalam bebanan hutang.
Walaupun ia pada mulanya dilihat sebagai satu inisiatif yang baik dalam meningkatkan ekonomi namun kemudahan tersebut juga boleh mendatangkan kesan negatif sekiranya seseorang individu itu gagal mengawal nafsu membeli-belah tanpa memikirkan kesan akan datang.
Hal ini kerana, kemudahan tersebut boleh menyebabkan mereka membeli disebabkan hanya mahu memenuhi kehendak dan bukannya kerana keperluan terdesak.
Isu tersebut dibangkitkan oleh warga maya melalui laman X (Twitter) selepas Penganalisis Asia Group Advisors, Abdul Rahim Ismail mengeluarkan kenyataan BNPL mampu memberi peluang kepada lebih ramai pengguna untuk berbelanja melalui satu sesi temu bual media baru-baru ini.
Menurut beliau, tawaran tersebut membantu orang ramai membuat persiapan hari raya, bahkan ia juga mampu meningkatkan literasi kewangan masyarakat.
BACA LAGI: Tak mustahil dunia retail terkubur, makin ramai lebih suka beli-belah online
Seorang pengguna warga maya, The_Cool_Guy berkata penggunaan kemudahan BNPL itu adalah satu tindakan yang kurang bijak memandang keadaan ekonomi pada masa sekarang.
"Dengan keadaan ekonomi sekarang kita berdepan dengan pekerja yang menerima gaji yang rendah, inflasi dan hutang yang tinggi.
"Pada masa sama, harga kereta dan hartanah juga melambung naik.
"Diburukkan oleh hutang kerajaan yang tinggi dan tidak dapat membantu rakyat dalam masa sukar. Selain itu ada segelintir rakyat yang mempunyai tabiat berbelanja besar sehingga berhutang
"Juga orang tabiat berbelanja dengan hutang peribadi yang tinggi. Kemudahan seperti ini boleh menyebabkan ramai orang bankrap," ciapnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal kepala tersiat depan masjid lepas bertembung treler di Pontian
Aliff_Rahman_Mikael pula berkata, bagi yang suka berbelanja pasti ia dianggap peluang yang menggembirakan tetapi akhirnya menjerat diri apabila dibebani hutang tinggi.
"Andai kata keinginan membeli tidak dikawal, pembeli boleh terbeban dengan hutang dan lebih malang pendapatan yang diperolehi akan habis digunakan untuk membuat bayaran ansuran sahaja.
"Bukan nak cakap kemudahan itu tidak baik tetapi dengan keadaan ekonomi sekarang perlu elak berhutang," katanya.
Sementara itu, BernardGT pula berkata, pengguna yang culas membayar hutang BNPl tersebut berisiko berdepan dengan data kewangan yang buruk.
"BNPL ini perosak kewangan peribadi kalau tak pandai jaga. Hentikan mempromosi kemudahan ini.
"Ini kerana jika tidak melunaskan bayaran pada tarikh yang ditetapkan, mereka akan dikenakan kadar faedah tinggi dan menambahkan lagi hutang piutang sedia ada," katanya.
Untuk makluman, kemudahan BNPL ini memberi peluang kepada pengguna membuat bayaran pendahuluan dan kemudian diberi pilihan untuk menjelaskan bayaran ansuran sama ada dalam tiga bulan, enam bulan atau pun 12 bulan selain kelulusan yang singkat.
Namun begitu, sekiranya pengguna gagal melunaskan hutang tersebut dalam masa yang telah ditetapkan, mereka berisiko berdepan dengan kadar faedah yang tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram