[VIDEO] Ejekan punca pelajar tingkatan 3 kena bantai sekumpulan lelaki di Melaka


  • 112
  • Jumaat, 05 Apr 2024

Tangkap layar video tular insiden sekumpulan individu termasuk pelajar sekolah menengah merusuh di kawasan Pantai Puteri pada penghujung Mac lalu.

EJEK-MENGEJEK antara satu sama lain punca seorang pelajar Tingkatan Tiga lebam seluruh badan dan muka akibat dipukul sekumpulan lelaki termasuk 20 pelajar sekolah di Melaka pada akhir bulan lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi 4.09 minit tular di media sosial sejak Khamis memaparkan insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di kawasan awam di Pantai Puteri dekat Tanjung Kling Melaka.

"Siasatan polis mendapati kejadian pada 29 Mac lalu berpunca kerana perselisihan faham dan rasa tidak puas hati berhubung insiden lama ejek-mengejek.

"Polis menerima satu laporan polis dibuat seorang wanita berusia 65 tahun pada 31 Mac lalu selepas mendapati cucu lelakinya yang berusia 15 tahun dipukul sekumpulan lelaki dikenali di Pantai Puteri sehari sebelumnya, kira-kira pukul 1 tengah hari.

"Pengadu kemudian membawa cucunya untuk rawatan di Hospital Melaka dan mangsa kini masih dirawat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: [VIDEO] Aksi berani mati pemilik 4X4 pandu laju 'dibalas' 5 saman, kenderaan disita polis trafik Sarawak

BACA LAGI: [VIDEO] Rakaman audio bongkar perbuatan bapa durjana cabul, dera seksual anak kandung 5 tahun

Tambah Zainol lagi, polis menjalankan siasatan dan menahan 23 individu berusia 15 hingga 20 tahun di sekitar kawasan Tanjung Kling, Malim dan Tanjung Minyak pada Khamis bagi membantu siasatan.

Katanya, semua suspek yang berumur di bawah 18 tahun adalah pelajar sekolah berbeza di sekitar kawasan Tanjung Kling dan kes disiasat Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

"Polis turut merampas tiga topi keledar serta sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden itu," katanya sambil memaklumkan semua suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram