KETAGIHAN telefon pintar menjadi masalah yang semakin membimbangkan bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia.
Semakin ramai individu cenderung menghabiskan masa dengan telefon pintar berbanding melakukan interaksi dengan dunia sebenar.
Tidak sedikit kes yang dilaporkan melibatkan kecuaian ibu bapa terhadap anak-anak akibat terlalu leka dengan gajet mereka.
Seperti video yang tular pada Sabtu, seorang ibu secara tidak sengaja memasukkan bayinya ke dalam peti sejuk ketika sedang asyik berbual menerusi telefon pintarnya.
Pada awalnya, wanita berkenaan dilihat sedang mengupas bawang sambil bercakap di telefon, sementara anak kecil itu bermain di sekelilingnya.
Dia kemudian sepatutnya menyimpan bawang berkenaan ke dalam peti sejuk, namun sebaliknya dia bertindak mendukung lalu memasukkan bayi itu dalam peti sejuk dan menutupnya.
Tanpa mengesyaki apa-apa, wanita berpakaian sari itu meneruskan perbualannya sehinggalah suaminya muncul dan bertanyakan keberadaan bayi tersebut.
Menyedari ketiadaannya di situ, kedua-duanya mulai cemas dan cuba mencari anak mereka sebelum si suami terdengar bunyi tangisan yang datang dari dalam peti sejuk berkenaan.
Lelaki berkenaan amat terkejut melihat anaknya dalam keadaan menangis teresak-esak ditinggalkan di ruang yang sempit dan sejuk.
Dia segera membawa bayi tersebut keluar dan memarahi isterinya yang cuai.
Kejadian yang berlaku di India pada 26 Mac lalu dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah.
Begitupun di penghujung video, terdapat penafian bahawa video tersebut hanyalah sekadar konten semata-mata. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram