ORANG bukan beragama Islam dilarang untuk menyentuh al-Quran walau dalam apa juga keadaan sekali pun, tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai satu video tular memaparkan tindakan seorang lelaki dipercayai bukan beragama Islam memegang dan mengedarkan kitab suci itu kepada sekumpulan kanak-kanak.
Video tersebut dimuat naik menerusi laman Facebook milik Lando Zawawi pada Selasa.
Bagaimanapun Wan Salim berkata, individu bukan Islam hanya dibenarkan untuk menyentuh terjemahan al-Quran.
"Namun orang tersebut mestilah diyakini tidak akan menghina kitab suci dengan cara yang tidak sepatutnya ataupun meletakkannya di tempat yang tidak bersesuaian.
"Berdasarkan video, kita tak pasti sama ada yang diedarkan itu adalah al-Quran atau terjemahan al-Quran," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: [VIDEO] Beri sedekah al-Quran bukan lakonan — Sunny
BACA LAGI: 'Automatik mengalir air mata,' isu rumah terbengkalai buat pembeli sedih ditanya tentang status
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Mengulas lanjut, Wan Salim turut mempersoalkan tindakan penganjur yang menjemput individu bukan beragama Islam untuk membuat penyerahan al-Quran itu.
"Orang Islam tidak sepatutnya mengarahkan yang bukan Islam untuk melakukan perkara sedemikian.
"Ini kerana kita tidak boleh jamin penghormatan mereka terhadap kitab suci itu. Mereka tidak tahu hukum-hakam kita," jelasnya.
Beliau dalam masa sama juga menasihatkan sesiapa sahaja agar sentiasa menjaga adab yang mencerminkan kehormatan apabila berinteraksi dengan al-Quran.
"Ini termasuklah dari segi perbuatan seperti meletakkannya di tempat yang tinggi dan bersih serta cara pemakaian yang sesuai dan sopan," ulas beliau.
Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron
Sementara itu, Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron turut melontarkan pendapat sama berhubung isu tersebut.
Katanya, niat dan pemberian itu mungkin baik tapi tidak kena cara.
"Sekiranya benar-benar al-Quran yang diberikan kepada kanak-kanak tersebut, individu berkenaan sepatutnya menjaga adab dan akhlaknya.
"Dengan seluar yang koyak apa tujuan sebenarnya yang ingin ditonjolkan? Sepatutnya pihak penganjur mengenakan syarat-syarat yang sesuai dengan tujuan syariat Islam," katanya mengulas video tersebut.
Berdasarkan klip berdurasi 55 saat yang dikongsikan Lando, lelaki berkenaan dilihat mengagihkan al-Quran bersaiz kecil kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan yang bertudung serta berkopiah.
Selain meletakkan al-Quran di tempat tidak sepatutnya, pemakaian individu yang juga ahli perniagaan berpangkat Datuk Seri itu dikatakan tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti berkenaan.
"Saya mohon majlis pemberian al-Quran daripada sesiapa atau kepada sesiapa dengan cara yang lebih sempurna dan dikenal pasti kandungannya.
"Apapun terima kasih atas sumbangan, cuma tiada seorang tegur dia semasa kejadian. Kenapa? (Sebab) ada pangkat Datuk kalian jadi bisu?
"Dia tak tahu ketinggian martabat al-Quran pada kita. Itu saja. Penganjur patut pesan dia," kata Lando. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram