Kerajaan mahu laksana subsidi bersasar, tapi ramai khuatir tak lepas syarat kelayakan


  • Massa
  • Rabu, 03 Apr 2024

Program subsidi bersasar perlu dilaksanakan kerajaan bagi memastikan supaya bantuan disalurkan hanya kepada kumpulan rakyat Malaysia yang layak. — Gambar hiasan

SUBSIDI bersasar menjadi antara topik hangat yang menjadi perbincangan rakyat Malaysia ketika ini.

Daripada perbualan di gerai kopi, pusat-pusat akademi hinggalah ke peringkat meja bulat dalam bangunan-bangunan tinggi.

Ada sahaja idea, komen bernas, persoalan dan kritikan yang mahu diutarakan masyarakat kita.

Mana tidaknya, isu ini mendapat perhatian kerana ia melibatkan banyak pihak dan kesannya juga mempengaruhi ekonomi negara dengan berbilion ringgit diperuntukkan saban tahun bagi bagi tujuan subsidi tersebut.

Untuk makluman, subsidi bersasar merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh kerajaan untuk menyediakan bantuan berbentuk kewangan atau barangan kepada kumpulan atau sektor penduduk tertentu.

Pelaksanaan subsidi bersasar terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan adalah langkah terbaik bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

Pendekatan itu juga dapat mengelakkan ketirisan seperti yang berlaku sebelum ini apabila bukan warganegara mengambil kesempatan dengan turut menikmati subsidi hingga menyebabkan kerugian kepada negara.

BACA LAGI: Subsidi bersasar perlu, pastikan hanya kumpulan layak dapat manfaat — PM Anwar

rafizi

Rafizi mendedahkan jumlah hutang negara ketika ini adalah sebanyak RM1.3 trilion.

BACA LAGI: Subsidi bersasar jangka dilaksana lepas Mac 2024, 3 kaedah dipertimbang

Apatah lagi, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini mendedahkan jumlah hutang negara ketika ini adalah sebanyak RM1.3 trilion iaitu secara kasarnya nisbah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerajaan sudah mencecah 70 peratus.

Justeru kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Program Subsidi Bersasar sepenuhnya bermula 2024 dengan menggunakan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa program subsidi bersasar perlu dilaksanakan kerajaan bagi memastikan supaya bantuan disalurkan hanya kepada kumpulan rakyat Malaysia yang layak.

Dalam mempertahankan dasar berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaannya juga kelak akan menghalang subsidi daripada dinikmati warga asing dan kumpulan kaya.

Beliau berkata, pendekatan yang sama juga akan dilakukan ke atas bil elektrik, yang mana kenaikan tarif hanya memberi kesan kepada 15 peratus penduduk seperti golongan kaya.

"Subsidi mesti disalurkan kepada 85 peratus penduduk. Ini boleh membantu meningkatkan kuasa beli dan mengurangkan beban kewangan mereka," katanya.

1

Subsidi mesti disalurkan kepada 85 peratus penduduk. — Gambar hiasan

Dalam usaha kerajaan melaksanakan program subsidi bersasar ini, timbul beberapa isu yang dibangkitkan berhubung kaedah pelaksanaannya.

Selain tidak memahami mekanisme penyampaian kepada rakyat secara jelas, rata-rata rakyat Malaysia menyuarakan kegusaran sama ada mereka tergolong dalam kelompok subsidi bersasar atau tidak.

Menurut seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Hanisah Ramlan, dia masih kurang jelas akan pelaksanaan sistem PADU meskipun sudah mengisi maklumat yang diperlukan dalam sistem berkenaan.

"Namun saya sendiri tak pasti bagaimana penilaiannya. Adakah saya tergolong dalam golongan subsidi bersasar atau tidak?

"Setahu saya, setakat ini kerajaan masih belum putuskan penetapan kriteria kelayakan individu yang boleh menerima subsidi bersasar itu. Jadi masih samar-samar di situ," katanya.

Sementara itu, Tajuddin Razak pula mengganggap dirinya tidak layak mendapat subsidi dalam bentuk wang tunai pada masa akan datang.

"Saya rasa tak layak dapat lagi subsidi bersasar di atas kejujuran isytihar cukai pendapatan setiap tahun. Rasanya memang tak layak dapat lagi subsidi sama ada dalam bentuk tunai lepas ini.

"PADU ini tak lama tuan-tuan, GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) pun mereka boleh hapuskan, sedangkan ada manfaat pada rakyat yang memerlukan bantuan tetapi memberikan keburukan kepada tauke jahat yang membela politikus," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram