[VIDEO] Beri sedekah al-Quran bukan lakonan — Sunny


  • Massa
  • Khamis, 04 Apr 2024

Sunny sudah 17 tahun terlibat dalam aktiviti memberi sedekah kepada golongan memerlukan. — Instagram/dss.sunny

RAKAMAN tular memaparkan tindakan seorang lelaki bukan beragama Islam mengedarkan kitab suci al-Quran kepada sekumpulan kanak-kanak mencetuskan polemik dalam kalangan warga maya baru-baru ini.

Menjawab isu tersebut, seorang ahli perniagaan berasal dari Kota Bharu, Kelantan mengakui dirinya sudah berbelas tahun terlibat dalam aktiviti memberi sedekah kepada golongan memerlukan.

Bagi Datuk Seri Sunny Ung, perbezaan agama dan bangsa bukanlah penghalang untuk beliau terus berbakti kepada masyarakat termasuk golongan yang beragama Islam.

Tidak mengharapkan sebarang balasan, akuinya, beliau ikhlas menghulurkan bantuan dan cuba memberi semula kepada masyarakat tanpa mengira kaum serta agama.

"Apa yang saya buat, selama 17 tahun saya membantu sekadar yang saya mampu, saya buat sedekah kepada anak yatim dengan ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan.

"Saya tidak mewakili mana-mana pertubuhan, organisasi atau parti politik, saya bergerak seorang.

"Saya bukan berlakon atau untuk kepentingan diri, saya buat ini (sedekah) kerana saya suka dan saya sendiri datang daripada keluarga daif.

"Apa yang anda buat adalah daripada masyarakat kepada masyarakat dan saya percaya ia diajar dalam mana-mana agama," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] Kecoh rakaman Datuk Seri edar 'kitab suci' macam beri duit raya, mufti kata haram bukan Islam pegang al-Quran

BACA LAGI: 'Automatik mengalir air mata,' isu rumah terbengkalai buat pembeli sedih ditanya tentang status

Sunny juga berkongsi, sehingga kini beliau mempunyai seramai 262 anak yatim di Kelantan yang berada di bawah tanggungannya.

Jelasnya lagi, 95 peratus daripadanya merangkumi kanak-kanak yang beragama Islam.

"Mereka 100 peratus ditanggung saya dan saya amat menekankan tentang pelajaran mereka," jelasnya.

Beliau dalam pada itu enggan mengulas lanjut mengenai isu memegang dan mengedarkan sendiri al-Quran, yang menjadi topik perbincangan masyarakat maya.

Sebaliknya, dermawan itu menyerahkan kepada golongan agamawan untuk memberi penilaian.

Snapinsta.app_84496663_212900930117485_2646443023471439471_n_1080

Perbezaan agama dan bangsa bukanlah penghalang untuk Sunny terus berbakti kepada masyarakat. — Instagram/dss.sunny

"Untuk komen dan beri pandangan berkenaan perkara tersebut bukan saya yang sesuai untuk mengatakan sama ada ia betul atau tidak. Itu hak mereka yang lebih arif mengenai agama.

"Apabila ia terjadi di Kelantan, ia pernah dipolitikkan sehingga menjadi isu yang besar. Tetapi ada juga ustaz menyokong (tindakan saya) dan memberi komen yang baik," ujarnya.

Luah Sunny, beliau juga cuba menyedarkan seramai mungkin individu berkemampuan supaya membantu lebih ramai lagi golongan memerlukan.

"Kalau anda boleh nilai hantaran di Instagram saya banyak menyedarkan masyarakat supaya membantu golongan susah seperti anak yatim dan ibu tunggal yang memerlukan bantuan dari segi pelajaran, makanan dan sebagainya.

"Termasuk di ibu kota sendiri pun, ramai yang memerlukan bantuan, yang mana kita sendiri tidak sedar," katanya.

Untuk rekod, Sunny pernah menerima pengiktirafan Anugerah Pembangunan Usahawan Dunia Muslim (MWEDA) atas sumbangan ikhlasnya terhadap perkembangan dunia Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram