KEMENTERIAN Sumber Manusia (Kesuma) menyasarkan lebih 50,000 pekhidmat rumah ibadat Islam akan mendaftar dan mencarum secara aktif di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohammad berkata, setakat 2023, seramai 38,828 pencarum merangkumi bilal, imam, merbut, noja, siak, ustaz, ustazah dan guru takmir sudah mendaftar di bawah skim berkenaan.
Menurutnya, jumlah itu melibatkan RM9,039,158.40 bayaran caruman yang ditanggung kerajaan.
"Setakat 29 Mac 2024 direkodkan sudah ada 19,306 pencarum yang mendaftar melibatkan RM4,494,436.80 jumlah bayaran caruman.
"Dengan bantuan pengamal media membuat hebahan secara besar-besaran, Insya-ALLAH kita boleh dapat lebih ramai (pencarum)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Iftar Kesuma PERKESO 2024 yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada Selasa.
BACA LAGI: Bukan lagi 90km/j, had laju Jalan Persekutuan dikurangkan 80km/j sempena Aidilfitri
Abdul Rahman (tengah) ketika ditemu bual media selepas menghadiri menghadiri Majlis Iftar Kesuma PERKESO 2024.
BACA LAGI: Tragedi jala ikan sefamili: Mayat budak perempuan ditemukan sejauh 7 km
Abdul Rahman memberitahu, pihaknya tidak hanya menumpukan pada pekhidmat rumah ibadat Islam, sebaliknya kementerian menyasarkan pelbagai golongan untuk mendaftar.
Jelasnya, golongan tersebut boleh diibaratkan sebagai duta setempat bagi menyebarkan fungsi dan kepentingan PERKESO.
"Imam juga ibarat duta, diselitkan mengenai kebaikan PERKESO dalam khutbah.
"Sebab itu golongan sasar ini kita melibatkan semua termasuk petani, pekebun dan sebagainya," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman juga menjelaskan, PERKESO bukan sekadar menyediakan jaringan keselamatan sosial yang berfungsi sebagai penampan daripada isu kewangan akibat bencana domestik, tetapi agensi ditubuhkan sejak Oktober 1971 itu kini menyediakan rawatan pemulihan.
Jelas beliau, perkhidmatan itu diberikan demi memastikan aspek produktiviti pekerja kekal terjamin, sekali gus berupaya melindungi kelangsungan sosioekonomi masyarakat.
“Pemberian faedah kepada pencarum juga merupakan salah satu testimoni paling efektif dalam memberi pemahaman kepada rakyat berkenaan kepentingan caruman perlindungan keselamatan sosial komprehensif yang disediakan oleh Kesuma menerusi PERKESO.
“Seramai 12 penerima faedah merangkumi empat penerima Faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), empat penerima Faedah HUK, dua penerima Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) dan dua lagi penerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dengan keseluruhan bayaran faedah berjumlah RM 222,002.01,” ujarnya.
Dalam pada itu, Majlis Iftar Kesuma PERKESO 2024 juga menyaksikan seramai 40 ibu tunggal, penjaga dan 92 anak-anak termasuk anak yatim menerima sumbangan hamper dan duit raya sebagai buah tangan untuk menyambut aidilfitri tidak lama lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram