TIGA belas remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di Lahad Datu, Sabah atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah sekolah vokasional pada Mac lalu.
Kesemua berusia 16 hingga 19 tahun itu dituduh bersama-sama membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu kira-kira pukul 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun, namun tidak melebihi 40 tahun dan tidak lebih 12 sebatan jika sabit kesalahan.
BACA LAGI: Kes pelajar mati dipukul Lahad Datu: KPM tidak kompromi, minta hormati privasi keluarga mangsa
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes pembunuhan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Prosiding tertutup itu diadakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani pada pukul 9 pagi dan hanya keluarga tertuduh dibenarkan masuk ke dalam bilik mahkamah kerana kes membabitkan juvana.
BACA LAGI: Badan penuh lebam, Muhd Nazmie Aizat maut kena belasah dalam asrama kolej vokasional di Lahad Datu
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao manakala peguam, Amirul Amin Rashid dan Kamarudin Mohmad Chinki mewakili dua daripada tertuduh. Baki 11 tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta bedah siasat diserahkan. — The Star/MUGUNTAN VANAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram