Baru lawan sekali tapi jurulatih Oman sudah kenal Malaysia luar dalam


  • Podium
  • Isnin, 25 Mac 2024

Silhavy sudah tahu kekuatan Malaysia selepas bertemu mereka sekali di Muscat. — FAM

ILMUNYA mengenai bola sepak Asia masih lagi mentah, apatah lagi pengetahuannya berkenaan sukan tersebut di kancah Asia Tenggara.

Tetapi bagi pengendali Oman, Jaroslav Silhavy, itu bukanlah masalah buat dirinya kerana pengalaman lampau bersama skuad kebangsaan Czehcia dalam saingan EURO 2020 membantunya.

Pengalaman mengendalikan perlawanan bola sepak Asia berlaku buat pertama kali dalam karier Silhavy apabila dia berjaya membantu Oman membenam Malaysia 2-0 di Muscat.

Walaupun baru pertama kali menewaskan Malaysia, tetapi Silhavy dengan penuh yakin mengatakan dia sudah mengetahui mengenai luar dalam berkenaan Harimau Malaya.

Bercakap ketika sidang media praperlawanan Malaysia menentang Oman bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Silhavy mengatakan dia sudah melakukan segala yang diperlukan untuk memastikan satu lagi kemenangan ke atas Harimau Malaya berjaya diraih.

"Benar, ini adalah kali pertama saya berada di Malaysia. Tetapi saya sudah melakukan kajian mendalam mengenai mereka. Saya menghormati mereka.

"Semestinya, saya tahu segalanya mengenai mereka dan mereka juga tahu segalanya mengenai Oman. Tak ada perkara yang boleh disorokkan lagi, kami bersedia untuk beraksi menentang mereka," ujar Silhavy.

BACA LAGI: Stadium Rajamangala pun jadi venue konsert Coldplay tapi padang 'tip top' sambut kehadiran Korea Selatan

BACA LAGI: Umum sasaran piala, pewaris jersi nombor 7 antara topik bakal dikupas Tan Sri Daud Bakar kepada fans Kedah

Apa yang dikatakan oleh Silhavy itu ada asasnya, memandangkan mereka memperoleh kelebihan selepas menang pada aksi pertama di Muscat, sudah pasti Oman lebih yakin untuk meraih tiga mata pada Selasa.

Mungkin yang menjadi misteri adalah mengenai keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil, tetapi kekuatan para pemain Harimau Malaya tidak menjadi masalah dalam pengetahuan Silhavy.

Jika kemenangan berjaya diraih oleh Oman sekali lagi, ia akan menjadi tamparan hebat Harimau Malaya dalam usaha untuk mendapatkan tempat ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Walaupun persiapan yang tidak seberapa termasuklah isu padang Bukit Jalil, Harimau Malaya harus memberikan saingan sebaiknya supaya tidak menghampakan ribuan penyokong Malaysia yang turun ke stadium pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram