Stadium Rajamangala pun jadi venue konsert Coldplay tapi padang 'tip top' sambut kehadiran Korea Selatan


  • Podium
  • Isnin, 25 Mac 2024

Padang Stadium Rajamangala bersedia untuk menyambut kehadiran skuad Korea Selatan. — Agensi

MALAYSIA sekali lagi berpotensi menjadi bahan ketawa dunia apabila Harimau Malaya bakal berdepan Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Bukan kerana faktor keputusan perlawanan, tetapi kerana keadaan padang stadium yang begitu mengecewakan hingga situasi semasa rumput Bukit Jalil menjadi misteri.

Lebih merisaukan apabila sesi latihan rasmi bagi kedua-dua pasukan yang sepatutnya diadakan di lokasi perlawanan terpaksa dibatalkan dengan Harimau Malaya akan melakukan persiapan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya. Sementara skuad Oman pula akan berlatih di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Situasi ini nyata memalukan Malaysia kerana sekali lagi rendahnya tahap kompeten Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam menguruskan padang.

Sebagai perbandingan, padang negara jiran iaitu Stadium Rajamangala yang menjadi gelanggang rasmi Thailand berada pada tahap terbaik bagi menyambut kehadiran Korea Selatan untuk aksi kelayakan Piala Dunia mereka.

BACA LAGI: Umum sasaran piala, pewaris jersi nombor 7 antara topik bakal dikupas Tan Sri Daud Bakar kepada fans Kedah

WhatsApp Image 2024-03-25 at 14.59.49

Padang Stadium Rajamangala terus ditukar selepas konsert Coldplay. — X/All Things Thai Football

Laman All Things Thai Football di X (Twitter) berkongsikan keadaan padang stadium tersebut yang baru saja diganti dengan rumput baharu selepas mereka menganjurkan konsert artis antarabangsa, Coldplay pada Februari lalu.

Menurut laman tersebut, sebaik saja konsert itu berakhir, rumput Stadium Rajamangala terus diganti dan tempoh lebih sebulan membolehkan ia berada dalam keadaan baik untuk perlawanan menentang Korea Selatan.

Selepas perlawanan itu, Stadium Rajamangala akan mengadakan satu lagi konsert iaitu Bruno Mars yang dijadualkan pada penghujung Mac.

Jika itu tidak cukup hebat, mungkin kita boleh melihat bagaimana Singapura melakukannya. Untuk rekod, aksi kelayakan antara Singapura dan China di Singapore Sports Hub adalah pada 21 Mac sementara konsert Taylor Swift: The Eras Tour hanya berakhir pada 9 Mac selepas enam malam ia diadakan.

BACA LAGI: Sumbat lebih 50 gol, skuad remaja JDT gegar Kota Singa

Namun begitu, keadaan rumput di stadium tersebut jelas begitu baik dan seolah-olah konsert tersebut tidak pun diadakan hinggakan Singapura berjaya beraksi baik untuk meraih keputusan seri 2-2 menentang China.

Kini, dengan keadaan rumput Bukit Jalil yang menjadi misteri hinggalah hari perlawanan, ia nyata merisaukan. Pihak PSM berkata, nantikan saja rupanya pada Selasa.

Dari cara kenyataan itu kelihatan PSM begitu yakin rumput stadium bersedia untuk digunakan pada perlawanan yang cukup penting ini. Jika benar apa yang dicanang, baguslah kerana kita dapat saksikan persembahan berkualiti Harimau Malaya.

Namun begitu, seandainya ia indah khabar dari rupa, maka bersedialah untuk menerima kritikan dan kecaman yang 'berbakul-bakul' dari rakyat Malaysia. Ketika itu, maaf pun sudah tiada erti lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram