Alasan bocor maklumat tak masuk akal, Sanusi dakwa Saifuddin 'gedik berlebihan'


  • Politik
  • Isnin, 11 Mac 2024

Sanusi (kiri) mendakwa Saifuddin (kanan) 'gedik berlebihan' gara-gara memburukkan kerajaan negeri Kedah. — The Star

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor sekali lagi mengejutkan ramai apabila mendakwa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertindak keterlaluan sebagai ahli politik.

Beliau juga menggelarkan Menteri Dalam Negeri itu sebagai 'gedik berlebihan' bermain politik, mengekploitasi maklumat kerajaan dan menggunakan kuasa agensi Persekutuan bertujuan memburukkan kerajaan negeri Kedah.

Sanusi berkata, Saifuddin sering mencipta pelbagai isu termasuk menekan dan merosakkan reputasi Menteri Besar, Exco dan pegawai kerajaan negeri dalam ceramah-ceramah politik sejak dilantik sebagai Menteri.

BACA LAGI : Bicara kes hasutan Sanusi bermula 18 Januari 2024

Zakiah to interview with Kedah MB Datuk Seri Sanusi. —LOW LAY PHON/The Star

Sanusi yang dikenali dengan sifat lantang dalam menyuarakan pandangannya. — The Star

Dakwanya, ‘gedik berlebihan’ itu dikatakan semakin menjadi-jadi terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN Ke-15) di Kedah.

“Saya berpendapat beliau tidak ada gambaran sebenar apakah yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri kerana tidak pernah mengadakannya.

“Kebimbangan tentang kebocoran maklumat rahsia kerajaan hanyalah alasan ‘mengada-ngada’ kerana semua maklumat kerajaan akan sampai ke pengetahun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar apbila tiba masanya.

“Belum ada kejadian bocor selama empat tahun ini. Lagipun, menunggu peringkat ini akan hanya melambatkan pelaksanaan projek,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Menurutnya, mesyuarat itu sebagai punca kuasa sesuatu arahan segera dikeluarkan kepada agensi dan jabatan untuk mempercepat dan melicinkan proses pelaksanaan sesuatu projek.

“Jangan-jangan beliau sebetulnya 'malu mata' nak bermesyuarat bersama? Saya telah hadir bermesyuarat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali tanpa sebarang masalah kerana kita sedar topi apa sedang kita pakai.

“Saya telah hadir mesyuarat pada peringkat lebih tinggi dan lebih besar bagi negara seperti Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, Mesyuarat Majlis Kewangan Negara, Majlis Tanah Negara, Majlis Air Negara, Majlis Kerajaan Tempatan, Majlis Perancangan Fizikal Negara dan seumpamanya tanpa sebarang masalah. Tidak ada rahsia kerajaan yang bocor pun.

“Sebetulnya dia kena mengakui bahawa hal ini masalah diri dia, bukan masalah saya,” katanya lagi.

BACA LAGI : Tak payah sibuk hal bola Kedah, baik AMK bising hal ringgit melemah

Home Minister Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail speaking to the press during the observation on visa liberalization plan process at Kuala Lumpur International Airport (KLIA) yesterday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Saifuddin (gambar) dilabel sebagai 'gedik berlebihan' oleh Sanusi. — The Star

Mengulas lanjut, Sanusi mendakwa, rahsia yang lebih besar daripada ‘rahsia kerajaan’ yang beliau dedahkan di Sidang DUN pada 7 Mac 2024 adalah tidak pernah ada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri sejak November 2022.

“Saya turut memohon Perdana Menteri menukar Menteri lain sebagai Pengerusi Bersama dalam satu mesyuarat di Putrajaya beberapa bulan dulu.

“Majlis ini melibatkan semua agensi negeri dan persekutuan di setiap negeri, bertujuan memantau isu-isu berbangkit dan memutuskan langkah segera yang perlu diambil oleh pihak-pihak terbabit berasaskan bidang kuasa masing-masing untuk menyelesaikan masalah berbangkit daripada projek-projek kerajaan persekutuan di setiap negeri.

“Ia penting berdasarkan bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berasaskan Senarai Persekutuan, Senarai Bersama dan Senarai Negeri yang diperuntukkan dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Sanusi mendakwa, isu terpenting dalam sebarang projek kerajaan adalah isu-isu tanah, pewartaan pengambilan balik tanah, pampasan, penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) dan seumpanya.

“Isu-isu teknikal projek, prosedur, reka bentuk, kapasiti, proses tander, peruntukan dan pelantikan kontraktor lazimnya di bawah bidang Persekutuan.Ia dipengerusikan bersama oleh seorang Menteri Kerajaan Persekutuan dan Menteri Besar. Kuasa memanggil mesyuarat itu terletak kepada Menteri Persekutuan.

“Selepas mesyuarat itu, Setiausaha Kerajaan Negeri akan mempengerusikan Majlis Penyelarasan Negeri untuk menyusun langkah segera untuk menyelaraskan tindakan agensi dan jabatan berkaitan.

“Sebelum Saifuddin Nasution dilantik sebagai Pengerusi Bersama selepas PRU-15, jawatan itu dipikul oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilantik pada Mac 2020.

“Beliau telah menyusun dan memanggil mesyuarat berjadual 3 atau 4 kali setahun.Sejak Mei 2020 hingga Oktober 2022, saya telah hadir bermesyuarat sebagai Pengerusi Bersama dengan semua Pengarah agensi negeri dan persekutuan beberapa kali (sekurang-kurangnya 4 kali).

“Tidak ada sebarang kebocoran maklumat sepanjang tempoh itu,” tegas beliau.

Kata Sanusi lagi, Saifuddin dilantik sebagai Pengerusi Bersama mewakili kerajaan persekutuan sejak PH membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU-15 pada November 2022. Sejak itu, mesyuarat penting ini belum pernah diadakan.

Justeru tegas beliau, alasan kononnya Sanusi suka membocorkan maklumat mesyuarat dalam ceramah politik di cawangan adalah alasan yang tidak masuk akal.

“Sudah lama sekali ceramah di cawangan tidak diadakan di Kedah ini,” bidasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram