SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, masjid di seluruh negara pastinya meriah dengan kehadiran umat Islam khususnya yang hadir pada waktu malam bagi menunaikan solat tarawih.
Disebabkan itu, menjadi satu pemandangan biasa untuk melihat kawasan persekitaran masjid dibanjiri kenderaan terdiri daripada kereta dan motosikal jemaah yang hadir.
Jika pada bulan biasa, suasana itu hanya dilihat berlaku pada waktu solat Jumaat, namun situasi itu berlaku hampir setiap malam ketika bulan Ramadan.
Disebabkan jumlah tempat meletak kenderaan melebihi had disediakan, adalah perkara lazim untuk kita melihat jumlah kenderaan melimpah sehingga di luar pekarangan masjid.
Kebanyakan daripada kereta terbabit juga boleh dilihat diletakkan di tepi-tepi jalan sehingga adakalanya menyumbang kepada kesesakan jalan raya.
Namun begitu, bagi beberapa anak muda yang tinggal di ibu kota Kuala Lumpur, mereka memilih melakukan perjalanan dengan pengangkutan sedikit luar daripada kebiasaan apabila memilih berbasikal ke masjid untuk menunaikan solat tarawih.
"Kembali lagi kita bermula. Berbasikal ke tarawih di Masjid Jamek seperti tahun 1935," kongsi seorang pengguna di laman X yang menggunakan nama Nabil Ersyad.
Ciapan tersebut turut memuat naik gambar basikal yang dinaikinya di hadapan Masjid Jamek, Kuala Lumpur semasa hari pertama di bulan Ramadan.
Untuk rekod, perkongsian itu bukan kali pertama dilakukan Nabil.
Pemandangan suasana di persekitaran Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada sekitar akhir tahun 1950-an. — Facebook
Ini kerana dia turut melakukan aktiviti serupa semasa bulan Ramadan tahun lalu.
Menariknya, sama seperti tahun ini, dia turut memilih untuk menjadikan 1935 sebagai rujukannya dalam melakukan aktiviti tersebut.
"Pergi Tarawih seperti tahun 1935. Berbasikal 15 minit dari rumah ke Masjid Jamek. Saya membayangkan betapa normalnya keadaan ini pada masa itu. Apabila berbasikal adalah perkara biasa.
"KL sebenarnya adalah bandar yang sesuai untuk berbasikal," katanya dalam hantaran pada 30 Mac 2023.
Ketika dihubungi Majoriti, Nabil, 28, berkata, aktiviti berbasikal ke masjid di sekitar ibu kota Kuala Lumpur itu sudah dilakukan bersama beberapa rakan-rakannya bermula pada 2022.
Pada asalnya, Nabil yang tinggal menyewa di Titiwangsa, Kuala Lumpur berkata, idea itu timbul kerana dia merasakan keperluan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan kereta sekali gus mengelak daripada terperangkap dengan kesesakan di kawasan bandar.
"KL seperti bandar besar di tempat lain ada satu masalah yang sama iaitu kesesakan jalan raya. Kita bukannya tak mahu orang bawa kereta langsung, tapi sekarang ini kebergantungan terhadapnya sangat tinggi.
"Kemudian orang tak pertimbang langsung alternatif lain. Sedangkan ruang di bandar kita ini terhad. Jadi bila orang semua ambil keputusan untuk memandu kereta, memang akan sesak.
"Disebabkan itu saya percaya kita kena mula cari alternatif lain di samping pengangkutan awam lain seperti bas dan tren, yang paling efisien bagi saya adalah basikal.
"Ia tak ambil banyak ruang dan tak guna banyak tenaga," katanya.
Kesesakan trafik terus menjadi masalah utama yang membelenggu warga kota. — Gambar hiasan
Pada masa sama, dia berkata, jarak perjalanan yang memakan masa hanya sekitar 20 minit dari rumahnya ke Masjid Jamek dengan berbasikal juga menyebabkan dia mengambil keputusan tersebut.
Mengulas mengenai tahun 1935 dirujuk dalam hantarannya, Nabil berkata, tahun tersebut dipilih kerana tempoh tersebut merupakan zaman memaparkan suasana di Kuala Lumpur apabila penduduknya menjadikan basikal sebagai pengangkutan utama.
Ujarnya, bukti berkenaan perkara itu boleh dilihat melalui foto lama yang merakam latar ibu kota termasuk di Masjid Jamek.
"Waktu sekitar tahun 1930-an, masa itu Masjid Negara belum ada lagi dan KL pun kita boleh katakan masih sebagai bandar yang kecil.
"Pada waktu itu, kalau kita tengok KL melalui gambar-gambar lama, kebergantungan terhadap kenderaan masih tidak ada lagi.
"Yang banyak kita tengok ada waktu tu adalah basikal. Kalau kita tengok balik zaman itu orang duduk KL memang pergi mana-mana sahaja memang naik basikal," katanya.
Disebabkan itu, Nabil yang bekerja sebagai jurutera di Kuala Lumpur berpandangan, adalah tidak salah sekiranya semua pihak menjadikan sejarah tersebut sebagai rujukan menyelesaikan masalah kesesakan trafik di ibu kota.
Malah ujarnya, sejarah tersebut juga sebenarnya membuktikan bahawa KL sebenarnya boleh dijadikan sebagai bandar raya yang mesra terhadap basikal
"Bukan nak cakap kita boleh, tapi sebenarnya kita pernah. Dulu kita memang bergantung kepada basikal. Tapi itu berubah bermula tahun 1960-an ke atas apabila orang mula bergantung dengan kereta.
"Jadi kalau kita rujuk balik 1935, waktu kita lebih banyak guna basikal, itu sebenarnya adalah penyelesaian terhadap isu kesesakan trafik di KL," ujarnya.
Dalam pada itu, Nabil yang bekerja sebagai jurutera di KL mengakui bahawa pengalaman berbasikal ke masjid sekitar ibu kota termasuk bersama beberapa rakan dengan minat sama sememangnya sesuatu yang sangat menyeronokkan.
BACA LAGI: Kate Middleton dedah hidap kanser, pemimpin dunia titip ucapan semangat
Here we go again.
Cycled to Terawih at Masjid Jamek like it’s 1935. https://t.co/TKXUNWTUSp pic.twitter.com/XhXgD6dBps
— Nabil Ersyad (@NabilErsyad) March 11, 2024
Malah katanya, sepanjang Ramadan, mereka juga berkunjung ke beberapa masjid di sekitar KL yang boleh dicapai dengan berbasikal antaranya seperti Masjid Negara, Masjid Jamek Kampung Bharu dan Masjid Setiawangsa.
Menyentuh mengenai cabaran dihadapi sepanjang melakukan aktiviti itu, dia mengakui fasiliti kemudahan untuk individu berbasikal disifatkan masih berada di tahap tidak begitu memuaskan.
"Kalau tempat parking basikal itu kalau dekat masjid memang tidak ada. Kalau saya pergi Masjid Jamek contohnya, memang kena letak basikal dan kunci di pili air sahaja.
"Sedangkan bagi saya secara peribadi pun, tempat letak basikal itu merupakan antara faktor besar yang menentukan saya nak bawa basikal atau tidak kalau pergi sesuatu tempat itu," ujarnya yang menggunakan pengangkutan awam sebagai pengangkutan utama ke tempat kerja.
Fasiliti kemudahan basikal di sekitar Kuala Lumpur disifatkan berada di tahap yang tidak begitu memuaskan. — Reddit
Antara cabaran lain dihadapinya termasuk ketiadaan laluan yang selamat untuk penunggang basikal khususnya di jalan utama yang besar termasuk lebuh raya di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Nabil turut menggalakkan individu yang berhasrat untuk berbasikal di sekitar Kuala Lumpur supaya tidak takut untuk mencuba menjadikan ia sebagai pengangkutan.
"Kalau masih baru nak mula, cuba pergi tempat yang selesa dulu. Kalau duduk di Petaling Jaya, jangan terus nak kayuh pergi KL pula sebab bukan semua kawasan sesuai untuk kita nak kayuh basikal.
"Tapi kalau rumah itu dekat KL dan masjid pun tak sampai 5 minit dengan memandu kenderaan, cubalah kayuh dulu. Mana tahu nanti lagi selesa sebab mungkin nak parking pun senang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram