[VIDEO] AS dah keluar amaran 2 minggu awal, lebih 60 maut serangan kumpulan bersenjata, pakai baju celoreng di Moscow


  • Benua
  • Sabtu, 23 Mac 2024

Tangkap layar video memaparkan serangan tembakan dilakukan oleh beberapa individu bersenjata dengan pakaian celoreng di sebuah konsert berdekatan Moscow, Rusia pada Jumaat.

LEBIH 60 individu terbunuh manakala 145 lagi cedera Jumaat apabila lelaki bersenjata berpakaian celoreng melepaskan tembakan ke arah penonton di sebuah konsert berhampiran Moscow, Rusia.

Kumpulan militan, Daesh kemudiannya mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan tersebut yang merupakan terburuk dalam sejarah Rusia dalam tempoh beberapa dekad lalu.

Dalam kejadian tersebut, beberapa lelaki bersenjata dilaporkan mula menembak ke arah orang awam yang berada di Dewan Bandaraya Crocus sejurus sebelum kumpulan rock era Soviet "Picnic" hendak membuat persembahan di sebuah panggung penuh di teater yang memiliki kapasiti 6,200 tempat duduk di pinggir barat Moscow itu.

Video yang berjaya disahkan kesahihannya memaparkan orang ramai sedang mengambil tempat duduk di dalam dewan berkenaan sebelum kemudiannya bergegas ke pintu keluar selepas berlakunya insiden tembakan berulang yang disusuli dengan jeritan pengunjung.

Klip lain pula menunjukkan beberapa lelaki bertindak menembak sekumpulan orang ramai yang berada di lokasi.

Beberapa mangsa juga didapati terbaring tidak bergerak dan berlumuran darah.

"Tiba-tiba terdengar dentuman di belakang kami, bunyi tembakan. Saya tidak tahu itu apa," kata seorang saksi, yang enggan dikenali namanya, memberitahu Reuters.

"Rempuhan bermula. Semua orang berlari ke eskalator," kata saksi itu.

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) Rusia, yang merupakan pengganti kepada pasukan KGB di era Soviet berkata, kira-kira 40 orang terbunuh, manakala kementerian serantau berkata 145 lagi mangsa cedera.

FSB berkata langkah keselamatan tambahan telah dikenakan.

Menurut satu laporan masih belum disahkan, angka kematian dijangka meningkat, sekali gus menjadikannya sebagai salah satu serangan terburuk ke atas Rusia sejak pengepungan sekolah Beslan 2004, yang menyaksikan militan Islam menjadikan lebih 1,000 orang, termasuk ratusan kanak-kanak sebagai tebusan.

WhatsApp Image 2024-03-23 at 9.35.03 AM

Di Dewan Bandaraya Crocus, api dilihat marak membakar dengan kepulan asap hitam di bahagian atas bangunan tersebut dengan ratusan lampu biru dari kenderaan kecemasan memancar pada waktu malam. — Reuters

Kanak-kanak dilaporkan merupakan antara mangsa yang maut dan cedera dalam serangan di konsert berkenaan.

Berpuluh-puluh ambulans dilihat tiba di institut penjagaan kecemasan Sklifosovsky di Moscow.

Daesh dakwa bertanggungjawab ke atas serangan dilakukan

Kumpulan militan Daesh yang pernah mendapatkan penguasaan ke atas kawasan di Iraq dan Syria, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, kata agensi media kumpulan itu, Amaq di Telegram.

Gambar dikongsikan beberapa media Rusia memaparkan dua daripada penyerang yang dikatakan ditahan dan berada di dalam sebuah kereta putih.

Beberapa media Rusia berkata, kumpulan lelaki bersenjata berkenaan masih bebas dan belum ditangkap.

Daesh dalam kenyataannya berkata, serangan terhadap pejuangnya yang melakukan serangan itu berjaya pulang ke pangkalan mereka dengan selamat.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memberikan butiran lanjut.

Serangan ke atas Dewan Bandaraya Crocus, yang terletak kira-kira 20 km dari Kremlin, berlaku hanya dua minggu selepas kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Rusia memberi amaran bahawa "pelampau" mempunyai rancangan untuk melakukan serangan di Moscow.

Beberapa jam sebelum amaran berkenaan, FSB berkata, ia telah menggagalkan serangan ke atas rumah ibadat di Moscow oleh kumpulan Daesh Afghanistan, yang dikenali sebagai ISIS-Khorasan, atau ISIS-K.

AS mempunyai risikan yang mengesahkan dakwaan Daesh bertanggungjawab ke atas tembakan itu, kata seorang pegawai AS pada Jumaat.

Pegawai itu berkata, Washington memberi amaran kepada Moscow dalam beberapa minggu kebelakangan ini tentang kemungkinan serangan.

Presiden Rusia Vladimir Putin mengubah pendiriannya terhadap perang saudara di Syria dengan melakukan campur tangan pada 2015 apabila menyokong Presiden Bashar al-Assad menentang pembangkang dan Daesh.

"ISIS-K telah tertumpu pada Rusia sejak dua tahun lalu, sering mengkritik Putin dalam propagandanya," kata Colin Clarke yang merupakan pakar daripada Pusat Soufan.

Terdapat juga cawangan ISIS di Caucasus.

Kumpulan Daesh yang memiliki operasi meluas di beberapa negara telah mendakwa merencanakan serangan maut di seluruh Timur Tengah termasuk di Afghanistan, Pakistan, Iran, Eropah, Filipina dan Sri Lanka.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova berkata, kejadian itu merupakan "serangan pengganas berdarah" yang harus dikecam oleh seluruh dunia.

w980-p16x9-2024-03-22T200542Z_2147370781_RC26R6AWV0KS_RTRMADP_3_RUSSIA-SHOOTING

Rusia mengetatkan kawalan keselamatan di seluruh negara ekoran serangan pada Jumaat. — Reuters

Amerika Syarikat, kuasa Eropah dan Arab serta negara bekas republik Soviet melahirkan rasa terkejut, mengutuk serangan itu dan mengucapkan takziah.

Penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak menafikan sebarang penglibatan negara terbabit.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengecam apa yang dipanggil "serangan pengganas yang keji dan pengecut."

Rusia ketatkan kawalan keselamatan

Rusia mengetatkan keselamatan di lapangan terbang, hab pengangkutan dan kawasan di ibu kota bandar berkenaan yang memiliki populasi lebih 21 juta orang.

Semua acara awam berskala besar telah dibatalkan di seluruh negara.

Putin, yang pada Ahad dipilih semula untuk penggal keenam pentadbirannya menghantar ribuan tentera ke Ukraine pada 2022 dan telah berulang kali memberi amaran bahawa pelbagai kuasa termasuk negara Barat sedang berusaha untuk menyemai kekacauan di dalam Rusia.

Menurut Kremlin, Putin sudah dimaklumkan pada mengenai serangan berkenaan sejak minit pertama ia berlaku dan sentiasa menerima kemaskini terbaharu berhubung insiden tersebut.

"Presiden sentiasa menerima maklumat tentang apa yang sedang berlaku dan tentang langkah-langkah yang diambil melalui semua perkhidmatan yang berkaitan. Ketua negara memberikan semua arahan yang diperlukan," kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov.

Di Dewan Bandaraya Crocus, api dilihat marak membakar bahagian atas bangunan tersebut dan kepulan asap hitam dengan ratusan lampu biru dari kenderaan kecemasan memancar pada waktu malam.

Helikopter dilaporkan berusaha memadamkan api yang menyambar bangunan besar itu.

Menurut agensi beita RIA, bumbung tempat terbabit turut runtuh.

“Satu tragedi dahsyat berlaku di pusat beli-belah Crocus City hari ini,” kata Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin.

"Saya minta maaf kepada semua keluarga mangsa," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram