KESALAHAN menjual stoking kalimah ALLAH bukanlah sesuatu hal yang boleh dipandang remeh, kata penceramah Ahmad Dusuki Abdul Rani.
Menurut Ahmad Dusuki, adalah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam di negara ini untuk memulakan tindakan memboikot pasar raya yang dilihat menghina dan mencaci agama Islam.
"Ada agenda yang lebih jauh yang cuba dilakukan oleh musuh musuh agama ini," tulisnya dalam satu hantaran di laman X.
Selain itu, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Dr. Ahmad Sanusi Azmi turut berharap agar umat Islam menjauhkan diri dari golongan yang dilihat seakan-akan bermain dengan sentimen keagamaan.
"ALLAH memerintahkan kita agar menjauhkan diri dari golongan sebegini.
"Mereka tidak layak untuk diberikan perhatian sebaliknya mereka hanya menjemput azab ALLAH," tulisnya.
Beliau turut berpendapat perlunya tindakan tegas dilaksanakan bagi mengelak isu sebegini berulang.
"Adakalanya tindakan yang tegas perlu dilaksanakan bagi mendidik masyarakat tentang batasan-batasan yang perlu mereka fahami dalam memuliakan kalimah ALLAH," tulisnya.
Dr. Ahmad Sanusi turut memuat naik firman yang diturunkan oleh ALLAH SWT:
وذرِ الذِين اتخذُوا دِينهُم لعِبا ولهوا وغرتهُمُ الحياةُ الدُنيا ۚ وذكِر بِهِ أن تُبسل نفس بِما كسبت ليس لها مِن دُونِ اللهِ ولِي ولا شفِيع وإِن تعدِل كُل عدلٍ لا يُؤخذ مِنها ۗ أُولٰئِك الذِين أُبسِلُوا بِما كسبُوا
Maksudnya: Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). (Surah al-An’am: 70)
Dr Ahmad Sanusi memuat naik kepingan ayat dalam surah al-Taubat di dalam laman media sosialnya.
BACA LAGI: 'Hilang' sebab takut kena marah, ibu syukur Siti Dhia ditemukan selamat di restoran mamak Sri Rampai
Dalam pada itu, memetik laporan daripada berita tempatan, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta umat Islam bertenang dan memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa menyiasat isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart.
Katanya, polis, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca serta pihak bertanggungjawab dalam kontroversi itu.
“Saya rasa sedih dan dukacita dengan apa yang berlaku. Kita berada dalam bulan Ramadan, ada yang menyatakan jangan terlampau sensitif dengan isu ALLAH letak di stokin, tetapi ini tidak boleh (dibiarkan).
"ALLAH ini satu kalimah yang sangat tinggi di mata orang Islam. ALLAH adalah pencipta kita dan perbuatan meletakkan ALLAH di kaki adalah satu penghinaan yang tidak boleh kita remehkan," katanya.
Sebelum ini, tular gambar stoking tertera kalimah ALLAH yang dijual di KK Super Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial sejak 13 Mac lepas.
Pada Ahad, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai tampil memohon maaf. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram