[VIDEO] Payung terjun 'tak kembang', anggota Paskau berdepan detik cemas ketika di udara Kuantan


  • Tular
  • Isnin, 11 Mac 2024

Tangkap layar video memaparkan detik cemas dihadapi seorang anggota Paskau selepas payung terjun utamanya mengalami masalah teknikal ketika berada di udara Kuantan baru-baru ini.

SEORANG anggota komando elit Pasukan Khas Udara (Paskau) berdepan detik cemas semasa operasi latihan selepas payung terjun utamanya mengalami masalah teknikal semasa berada di udara dalam kejadian di Kuantan, Pahang pada minggu lalu.

Video insiden mendebarkan itu turut tular di media sosial sejak Isnin yang memaparkan anggota tentera itu mengalami kesukaran selepas bahagian payung terjun itu tidak terbuka.

Difahamkan, payung terjun utama itu terpisah daripada beg payung yang digunakan dan menyebabkan anggota Paskau terbabit terpaksa menggunakan payung terjun cadangan untuk meneruskan latihan dan selamat mendarat.

Namun syukur, anggota yang terlibat dalam kejadian itu dilaporkan terselamat.

BACA LAGI: Kurang sebulan tarikh tamat pendaftaran, ada lagi langsung tak tahu pasal PADU

BACA LAGI: Ibu bapa terasa kenaikan belanja persediaan sekolah

Menurut laporan media tempatan, insiden berkenaan berlaku ketika sesi Latihan bersepadu Air Mobility Tactical Operation (AMTOP) Siri 1/23.

Operasi latihan itu melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan menggabungkan elemen Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Latihan berkenaan dikoordinasi Markas Wilayah Udara 1 (Mawilud 1) sebagai hos dan dilaksanakan di kawasan operasi latihan sekitar Kuantan, Gong Kedak (Terengganu), Mersing (Johor) dan Pulau Pangkor (Perak).

Belum ada kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) bagi mendapatkan pengesahan mengenai status kecederaan anggota terlibat dalam insiden berkenaan setakat ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Paskau, payung terjun, MINDEF, tentera, TUDM, TLDM, tular