PADA Khamis lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporannya menyatakan harga kebanyakan bahan binaan di dalam negara merekodkan peningkatan pada 2024 berbanding tahun lalu.
Kenaikan itu antara lain melibatkan dua bahan utama iaitu simen dan besi.
Bagi harga simen, Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) dikeluarkan mendapati ia meningkat antara 0.9 peratus hingga 10.2 peratus.
Peningkatan itu direkodkan bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak itu adalah perbandingan tahunan bagi tempoh Februari 2023 dan Februari 2024.
Menurut DOSM, harga purata sekarung simen (ordinary Portland) di Semenanjung bulan lalu ialah RM22.54.
Namun, perbandingan secara bulanan pula menunjukkan indeks harga seunit simen kekal tidak berubah bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Februari 2024 berbanding Januari 2024.
Berita mengenai kenaikan tersebut ternyata turut mendapat perhatian dalam kalangan warganet yang rata-ratanya memberikan respons negatif terhadap perkembangan tersebut.
BACA LAGI: Kurang sebulan tarikh tamat pendaftaran, ada lagi langsung tak tahu pasal PADU
Peningkatan harga simen itu dijangka bakal memberi kesan terhadap harga rumah di Malaysia. — Gambar hiasan
Ini kerana mereka berpendapat, situasi itu bakal memberi kesan secara langsung terhadap peningkatan harga rumah yang sedang dibina di Malaysia ketika ini.
Keadaan tersebut sekiranya dibiarkan perlu pasti meninggalkan impak lebih buruk buat rakyat yang ketika ini sudah pun berdepan dengan tekanan kemampuan untuk memiliki rumah.
Pada masa sama, tidak cukup dengan itu, peningkatan harga barang binaan ini tentunya akan memberikan kesan terhadap kualiti kediaman yang dibina termasuk terhadap rumah mampu milik.
Baru-baru ini, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dilaporkan berkata, sejak beberapa tahun lalu, saiz rumah mampu milik yang dibina di Malaysia didapati semakin mengecil antara 750-800 kaki persegi.
Ujarnya, keadaan itu berlaku meskipun harga kekal sekitar RM300,000, menurut laporan Utusan Malaysia.
Fenomena dikenali sebagai 'shrinkflation' itu menurut SPNB berlaku antaranya disebabkan kenaikan harga bahan binaan.
Mengulas mengenai kenaikan harga simen, terdapat warganet menimbulkan kembali isu berkenaan monopoli syarikat tertentu yang didakwa sebelum ini berkuasa mengawal harga bahan tersebut di dalam negara.
"Inilah sebab kerajaan dahulu tak benar monopoli satu barang keperluan, tapi kerajaan sekarang pentingkan kawan dari rakyat sebab itu la sekarang simen dimonopoli oleh ***, yang tanggung akibatnya rakyat," ujar Azmi Ahmad.
Untuk rekod, isu monopoli simen pernah dibangkitkan pada 2019 oleh Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.
Ia selepas syarikat pengeluar simen terbesar di Malaysia dilaporkan menaikkan harga bahan itu antara 40 hingga 50 peratus di seluruh negara.
Dalam kenyataannya, Guan Eng turut meminta pihak terbabit untuk memberikan penjelasan susulan pelaksanaan peningkatan harga tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Pegawai kanan datuk bandar mati kena tembak depan rumah ketika nak hantar cucu pergi sekolah
Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Ujarnya, ia termasuk sama ada kenaikan berkenaan adalah berpunca akibat monopoli syarikat terbabit yang difahamkan mengawal 85 peratus pasaran simen negara.
Sementara itu, beberapa warganet lain turut meminta supaya kerajaan mengambil langkah yang sepatutnya berhubung kawalan terhadap harga simen berkenaan termasuk terhadap syarikat berkaitan.
"Pihak berkuasa taknak ambil tindakan ke sebab naikkan harga besi? Kalau kat penjual bazar Ramadan cepat sahaja nak ambik tindakan," tulis Azman Sulaiman.
"(Kerajaan) Madani tak bagi amaran pula kepada geng kilang supaya jangan naikkan harga?" soal Azree Toretto. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram