SELEPAS beberapa minggu timbulnya tanda tanya mengenai kesihatan Princess of Wales, Kate Middleton, teka-teki terhadap perkara tersebut akhirnya terjawab pada Jumaat.
Ia selepas Kate menerusi satu rakaman mengesahkan dirinya sedang menjalani kemoterapi pencegahan ekoran keputusan ujian diambil selepas menjalani pembedahan abdomen mendapati terdapat simptom kanser.
"Ini sudah tentu merupakan kejutan besar, saya dan William telah melakukan segala yang kami mampu untuk menguruskan perkara ini secara peribadi demi keluarga kami," kata Kate, 42, dalam klip yang dirakamkan di Windsor.
Tanda tanya mengenai status kesihatan Kate timbul selepas Princess of Wales itu tidak pernah muncul di acara awam sejak beliau menyertai ahli keluarga diraja yang lain di gereja pada Hari Krismas tahun lalu.
Dalam video tersebut Kate berkata, kanser terbabit dikesan ketika dia melakukan ujian selepas pembedahan perut pada Januari, menyebabkan dia tidak muncul di acara awam untuk memberi ruang kepadanya memulakan rawatan.
Sebelum itu, bapa mentuanya, Raja Charles III turut diumumkan didiagnosis mengalami kanser dan sedang menjalani rawatan pada awal Februari.
BACA LAGI: Kantoi edit gambar terkini, status kesihatan Kate Middleton undang tanda tanya
Raja Charles III turut diumumkan didiagnosis mengalami kanser dan sedang menjalani rawatan pada awal Februari. — Agensi
Menerusi jurucakap Istana Buckingham, Raja Charles III disifatkan "sangat bangga dengan Catherine kerana keberaniannya bercakap seperti yang dilakukan (mengenai sakit yang dialami)" dan "kekal berada dalam hubungan paling rapat dengan menantu kesayangannya itu sepanjang minggu lalu" selepas mereka berada di hospital bersama-sama.
Jurucakap itu menambah Charles dan isterinya Ratu Camilla "akan terus menawarkan sokongan dan kasih sayang mereka kepada seluruh keluarga itu yang melalui tempoh sukar ini."
Putera Harry dan Meghan Markle, Duke dan Duchess of Sussex, juga mengeluarkan kenyataan: "Kami mendoakan kesihatan dan penyembuhan untuk Kate dan keluarga, dan berharap mereka dapat mengharunginya."
Adik Kate, James Middleton turut menyiarkan gambar lama bersama adik-beradiknya di Instagram, dengan kapsyen: “Selama bertahun-tahun, kami telah melalui pelbagai dugaan bersama-sama. Sebagai sebuah keluarga, kami akan mengharungi dugaan ini bersama kamu juga.”
Dalam pada itu, pemimpin dunia turut berkongsikan reaksi terhadap berita itu dan menawarkan sokongan mereka kepada Kate serta menggesa orang ramai untuk memberi ruang beliau melalui proses pemulihan.
Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak adalah antara yang pertama melahirkan ucapan buat Kate dengan memuji "keberaniannya yang luar biasa" dalam ciapannya di X, dan meminta Princess of Wales itu "diberikan privasi memberi tumpuan kepada rawatannya dan bersama keluarga tercinta."
Pemimpin Parti Buruh Britain, Keir Starmer menulis dalam catatan di X bahawa Kate mempunyai "sokongan dan kasih sayang bukan sahaja seluruh keluarganya, tetapi seluruh negara juga."
Dia menambah bahawa Keluarga Diraja berhak mendapat privasi dan sebagai ulasan terhadap obsesi orang ramai terhadap ketiadaan Kate dalam acara awam pada tahun ini.
"Saya hanya dapat membayangkan tekanan tambahan yang dihadapi di tengah-tengah spekulasi menakutkan yang telah kita lihat dalam beberapa minggu kebelakangan ini,” katanya.
Datuk Bandar London Sadiq Khan pula mendoakan puteri untuk menerima "kesembuhan sepenuhnya dan cepat".
Di Amerika Syarikat (AS), Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre memberitahu wartawan bahawa Kate sentiasa berada di dalam ingatan pentadbiran di negara tersebut.
"...fikiran kami bersama [Kate] ... semasa tempoh yang sangat sukar ini, dan sudah tentu kami mendoakan pemulihan sepenuhnya dan saya fikir penting untuk kami menghormati privasinya," ujarnya.
Tanda tanya mengenai status kesihatan Kate timbul selepas Princess of Wales itu tidak pernah muncul di acara awam sejak beliau menyertai ahli keluarga diraja yang lain di gereja pada Hari Krismas tahun lalu. — Agensi
Megan McCain, anak perempuan bekas Senator AS, John McCain yang meninggal dunia akibat kanser pada 2018, menulis di X bahawa "Amerika memberikan Puteri Kate dan seluruh kekuatan dan sokongan terhadap keluarga diraja itu pada masa yang mencabar ini."
Dia menambah bahawa "Puteri Kate sentiasa menjadi lambang kelas dan keanggunan".
Menteri Pertama Scotland Humza Yousaf berkata dalam catatan di X bahawa dia "berdoa untuk pemulihan segera" dan "sangat sedih" mendengar mengenai berita tersebut.
“Ia tentunya menjadi masa yang sangat sukar untuk seluruh keluarga. Sama ada keluarga diraja atau tidak, dia mempunyai hak untuk privasi, yang saya harap akan dihormati,” ujar Humza.
Menteri Pertama Ireland Utara, Michelle O'Neill, juga menulis di ciapan X, "Saya sangat sedih mendengar berita mengenai diagnosis kanser Princess of Wales.
"Saya menyampaikan ucapan supaya dia diberikan kekuatan dan semangat untuk rawatannya, dan pulih penuhnya dengan cepat.
"Ingatan juga tentunya ditujukan juga kepada keluarga mudanya untuk tempoh yang mencabar ini,” ujar Michelle. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram