UJIAN sebenar anak-anak adalah apabila ibu bapa mulai sakit dan badan jadi tidak berdaya.
Sebab itulah wujudnya pepatah seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak itu belum tentu mampu menjaga seorang ibu.
Namun tidak dapat dinafikan setiap anak mempunyai ujian hidup yang berbeza-beza.
Dengan kekangan seperti kesibukan di tempat kerja atau adakalanya terpaksa menguruskan pasangan dan anak-anak kecil menyebabkan segelintir individu memutuskan untuk menghantar orang tua mereka ke pusat penjagaan dan perlindungan warga emas.
Bagaimanapun, kos perkhidmatan yang agak mahal di sesetengah pusat jagaan menyebabkan ada yang bertindak menghantar ibu bapa sudah berusia ke rumah sewa di kawasan perumahan biasa.
Trend itu didedahkan seorang penasihat hartanah, Anis Hafiza Ali, 25, menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.
Tangkap layar perbualan seorang anak yang mahu menghantar bapanya tinggal di rumah sewa. — Facebook/ Anis Hafiza.
BACA LAGI: Pusat jagaan terbakar di PJ, warga emas rentung atas katil
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, tindakan tersebut diambil sebagai langkah penjimatan terutamanya apabila menetap di bandar besar seperti Selangor.
"Tak kira Melayu atau bukan, trend ini saya perasan lama dah. Kos penjagaan orang tua sebulan di Selangor (boleh mencecah hingga) RM4,000 sebulan.
"Nak jimat kos maka ayahnya diletakkan dalam bilik sewa. Ayah tak bekerja, jadi anak-anak yang bayar sewa.
"Ayahnya pula memekak karaoke setiap malam hingga mengganggu penyewa bujang yang lain. Ini realiti ya," katanya.
Dia turut berkongsi situasi seorang anak yang merayu agar bapanya dibenarkan menginap semula di sebuah rumah sewa, meskipun sudah diusir atas faktor menggangu ketenteraman rakan serumah.
"Ayah baru bercerai dengan mak, ayah stres (dan) menjerit tiap-tiap malam.
"Kita minta ayah keluar sebab mengganggu orang lain, (tetapi) anak merayu minta bagi izin ayah dia sewa.
"Kita ini operator bilik sewa, bukan tempat penjagaan orang tua dan kami bukan nak menghadap lelaki ada masalah mental. Jadi kena tapis juga," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram