TINDAKAN seorang bapa meninggalkan anaknya bersendirian di dalam sebuah kenderaan di Miri, Sarawak mengundang kecaman dalam kalangan warga maya.
Melalui satu video yang dikongsikan di laman Facebook Miri Community pada Khamis, kanak-kanak yang berpakaian seragam sekolah berwarna hijau itu ditinggalkan dalam keadaan cuaca panas terik berhadapan sebuah pejabat pos.
Kereta itu dibiarkan terkunci dengan penyaman udara dihidupkan, namun belum dapat dipastikan tempoh kanak-kanak berkenaan dibiarkan berseorangan di dalamnya.
Berdasarkan klip tersebut, orang ramai yang berada di lokasi kejadian dilihat cuba mengetuk tingkap kenderaan jenis Perodua Viva itu sebagai usaha mengejutkan budak lelaki tersebut.
BACA LAGI: Terlupa anak masih dalam kereta, budak 2 tahun maut ditinggalkan 8 jam di Ara Damansara
BACA LAGI: Salah ikut kawan pergi kelas KAFA, murid SK Briekfields 2 ditemukan selamat lepas hilang 5 jam
Melihat dia langsung tidak berganjak, terdapat individu yang bertindak menggoncang kereta tersebut sebelum kanak-kanak itu akhirnya terbangun dari tidur.
Berdasarkan maklumat awal yang dikongsikan, bapa budak lelaki itu difahamkan pergi ke pejabat pos untuk menyelesaikan urusannya, sementara anaknya dibiarkan di dalam kereta.
Susulan daripada kejadian itu, rata-rata warga maya mempersoalkan tindakan bapa berkenaan yang dianggap tidak bertanggungjawab.
Apatah lagi, sejak kebelakangan ini masyarakat sering kali disajikan dengan laporan berita bukan sahaja kanak-kanak malah golongan dewasa yang menemui ajal akibat terlalu lama berada di dalam kereta.
Menurut seorang pengendali Facebook dengan nama Rohaya Rs, ibu bapa seharusnya mengambil iktibar akan kes-kes sebelum ini yang pernah dilaporkan media.
"Kalau ikutkan memang cuai, bapanya fikir masuk pos laju sekejap saja. Kalau nak tinggalkan anak dalam kereta pun, bukalah cermin separuh.
"Sudahlah cuaca panas, kalau kena strok haba budak itu baru menyesal seumur hidup," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram