Pusat rehab PERKESO bertaraf dunia, ini apa yang anda perlu tahu tentang PRPTAR


  • Massa
  • Jumaat, 22 Mac 2024

Pusat Rehabilitasi PERKESO berfungsi sebagai satu lokasi yang memperjuangkan kebajikan golongan pekerja di negara ini.

PUSAT Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak (PRPTAR) merupakan sebuah pusat rehabilitasi bertaraf antarabangsa yang mengintegrasikan rawatan perubatan dan latihan vokasional.

Pusat rehabilitasi di bawah kendalian Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berfungsi sebagai satu lokasi yang memperjuangkan kebajikan golongan pekerja di negara ini.

Sejak dibuka pada Oktober 2014, seramai 15,214 individu sudah menerima rawatan di PRPTAR.

Sebanyak 70 peratus daripada 10,695 individu yang mendapatkan rawatan di pusat ini bagi tempoh 2019 hingga Januari lepas berjaya kembali ke alam pekerjaan.

Mereka yang layak mendapat rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO terdiri daripada dua kategori iaitu 90 peratus pencarum dan 10 peratus bukan pencarum PERKESO.

Bukan sekadar pusat rehabilitasi biasa, ini apa yang anda perlu tahu tentang Pusat Rehabilitasi PERKESO:

1. Mengenai PRPTAR

8

Sejak dibuka pada Oktober 2014, seramai 15,214 individu sudah menerima rawatan di PRPTAR.

Pembinaan pusat ini menggabungkan bukan sahaja perancangan seni bina dan reka bentuk, malah turut dilengkapi dengan peralatan dan teknologi yang berkualiti tinggi serta bertaraf dunia.

Konsep Bangunan Hijau di PRPTAR merangkumi:

Penggunaan cermin tingkap yang dapat mengurangkan penyerapan haba dan bercirikan 40 peratus penyerapan haba dan yang selebihnya 60 peratus haba akan dilepaskan.

Mempunyai sistem takungan air yang menyalurkan air hujan melalui saluran daripada bumbung ke tangki air bawah tanah (Underground Water Reservoir).

Penggunaan panel solar untuk penyalaan lampu jalan utama dan persekitaran.

Penggunaan lampu jenis T5 dan berkonsepkan lampu diod pemancar cahaya (LED), dengan 30 peratus penjimatan elektrik dapat dilakukan berbanding penggunaan lampu biasa.

2. Lokasi

2

PRPTAR merupakan pusat rehabilitasi yang pertama dan terbesar di rantau Asia Tenggara.

PRPTAR merupakan pusat rehabilitasi yang pertama dan terbesar di rantau Asia Tenggara mengintegrasikan rehabilitasi perubatan dan vokasional serta program Return to Work.

Terletak di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Melaka dengan kawasan seluas 55 ekar, pusat itu mula beroperasi pada 1 Oktober 2014.

Ia turut mempunyai empat buah pusat satelit iaitu di MSU Medical Centre, Shah Alam, Selangor; Quill City Mall, Kuala Lumpur, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Untuk rekod, Pusat Rehabilitasi PERKESO di Meru Raya, Ipoh, Perak yang mampu memuatkan 700 pesakit dalam satu-satu masa juga dijangka siap pada penghujung 2024.

Bakal menjadi pusat rehabilitasi terbesar di Asia Tenggara, pembinaannya kini sudah memasuki fasa kedua supersturuktur atau tahap 11.86 peratus siap.

Pusat rehabilitasi kebangsaan yang dianggap terunggul di Malaysia itu bukan sahaja bakal menjadi hub kepada perkhidmatan neuro-robotik terbesar di rantau Asia Tenggara, malah seluruh dunia.

Kesuma turut berhasrat untuk membuka tiga lagi pusat rehabilitasi baharu dalam tempoh lima tahun akan datang termasuk di Sabah dan Sarawak.

3. Kapasiti

4

PRPTAR mempunyai tenaga kerja profesional terdiri daripada pelbagai disiplin.

PRPTAR mempunyai tenaga kerja profesional terdiri daripada pelbagai disiplin seperti pegawai perubatan, jururawat, jurupulih anggota, jurupulih cara kerja, pegawai psikologi, pegawai optometri, pegawai dietetik, pegawai audiologi, pegawai terapi pertuturan, pelatih vokasional dan pengurus kes.

Kesemua pihak ini bertanggungjawab dalam menjayakan pelan rehabilitasi klien sehingga kembali bekerja dan menjadi lebih berdikari.

Pusat rehabilitasi berkenaan juga memiliki kemudahan fasiliti sebanyak 381 katil.

4. Perkhidmatan

1

PRPTAR memfokuskan penyediaan pelan rehabilitasi yang komprehensif kepada klien.

PRPTAR merangkumi lima jenis perkhidmatan rehabilitasi iaitu:

i) Pengurusan hilang upaya

Memfokuskan penyediaan pelan rehabilitasi yang komprehensif kepada klien.

Setiap pelan rehabilitasi klien akan diuruskan oleh pengurus kes dan dibantu anggota klinikal serta rehabilitasi yang mengintegrasikan perkhidmatan daripada pelbagai disiplin.

ii) Rehabilitasi perubatan

Kaedah rawatan rehabilitasi bergantung kepada keputusan setiap penilaian yang dibuat bagi menilai tahap ketidakupayaan pergerakan atau kefungsian semasa dan sebelum bencana.

Rancangan rawatan adalah berdasarkan hasil penilaian dan perbincangan pasukan multidisiplin rehabilitasi bersama-sama klien dan ahli keluarga mereka dengan menggunakan pendekatan Client Centered Approach.

Ia turut mengambil kira faktor keadaan semasa klien, keupayaan fizikal, kefungsian pergerakan dan mobilisasi, keadaan mental, faktor ergonomik, risiko kecederaan yang bersesuaian dengan persekitaran kerja, komuniti dan gaya hidup klien.

iii) Rawatan Neuro-Robotik dan cybernics

Rawatan Neuro-Robotik dan cybernics

Pusat Cybernics merupakan yang pertama di Malaysia dan rantau ASEAN.

Pusat yang beroperasi dengan kerjasama Cyberdyne Incorporation itu dilengkapi dengan Robot Suit HAL (Hybrid Assistive Limb), iaitu teknologi neurorobotik terkini dari syarikat Jepun yang menggabungkan interaksi antara manusia, robot dan informasi.

Robot Suit HAL membantu individu yang mengalami masalah kelumpuhan atau kelemahan anggota kaki akibat kecederaan saraf tunjang atau otak seperti strok, kecederaan otak traumatik, sklerosis berbilang dan penyakit neurodegeneratif untuk berjalan semula.

Ia juga berupaya memulihkan, menyokong dan meningkatkan tahap kefungsian mobiliti anggota kaki pesakit apabila dipakai.

Pusat Cybernics ini merupakan yang pertama di Malaysia dan rantau ASEAN serta keempat di dunia yang menawarkan perkhidmatan rawatan Cyberdyne HAL kepada klien yang mengalami kecederaan saraf tunjang atau otak seperti lumpuh, penyakit neurodegeneratif dan sebagainya.

iv) Rehabilitasi Vokasional

Setiap modul latihan kemahiran yang dirangka adalah komprehensif dan bersesuaian dengan keadaan klien yang masih mendapatkan rawatan akibat kecederaan industri atau menghidapi sebarang penyakit berkaitan.

Antara modul yang ditawarkan ialah jahitan, bakeri dan kulinari, rekaan grafik dan cetakan, kraftangan, pengguntingan rambut, automotif motosikal serta baik pulih telefon bimbit.

v) Kemudahan dan penginapan

3

Asrama yang disediakan mampu menempatkan seramai hampir 300 orang pada satu-satu masa.

Setiap klien yang mendapatkan rawatan di PRPTAR akan disediakan dengan kemudahan penginapan seperti wad dan asrama.

Asrama juga mampu menempatkan seramai hampir 300 orang pada satu-satu masa dengan jumlah 150 bilik.

Setiap bilik direka khas untuk keselesaan dan memudahkan penggunaan kerusi roda selain kondusif dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Untuk maklumat lanjut mengenai Pusat Rehabilitasi PERKESO, anda boleh melayari laman web https://www.rehabmalaysia.com/ atau ikut perkembangan terkini PERKESO menerusi pautan https://www.perkeso.gov.my/en/e-newsletter.html. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram