Pusat jagaan terbakar di PJ, warga emas rentung atas katil


  • 112
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Seorang warga emas ditemukan rentung dalam insiden kebakaran pusat jagaan orang tua di Petaling Jaya, Selangor. — Gambar hiasan

SEORANG warga emas wanita ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran sebuah pusat jagaan orang tua di Seksyen 5, Petaling Jaya, Selangor pada awal pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.13 tengah malam.

"Seramai 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wan Md Razali berkata, kebakaran melibatkan jenis bangunan struktur kelas A dan musnah terbakar 30 peratus daripada keluasan keseluruhan bangunan.

"Semasa kejadian terdapat 14 penghuni termasuk penjaga telah bertindak menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.

"Walau bagaimanapun, terdapat seorang mangsa wanita berusia 69 tahun ditemukan rentung di atas katil dalam sebuah bilik di kediaman itu," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Md Razali berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum jentera Bomba dan Penyelamat sampai di lokasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram