KEMELUT pengurusan tidak menghalang Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk melakukan persiapan sepanjang jendela perpindahan menjelang saingan musim depan.
Kepulangan Syafiq Ahmad dan Rizal Ghazali menjadi tumpuan utama dengan masing-masing akan meningkatkan kualiti skuad berbanding tahun lalu.
Selain itu, mereka mengumumkan kehadiran import baharu, Sukhrob Nurullaev yang dibawa masuk untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Manuel Hidalgo.
Persiapan mereka tidak terhenti di situ apabila KDA FC sudah mengadakan beberapa siri persahabatan berdepan pasukan amatur untuk menambah baik hubungan antara pemain.
Tetapi, penyokong Hijau Kuning seakan-akan masih kurang berpuas hati dengan barisan pemain dimiliki kerana kualiti masing-masing dilihat tidak cukup untuk membolehkan mereka bersaing.
BACA LAGI: Ketiadaan KL City FC, KDA FC buat Liga M hambar, rencat perancangan bola sepak
Nurullaev merupakan satu-satunya import yang disambar skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Malah, semangat kenegerian turut ditekankan pengikut setia pasukan dengan pemain sayap, Fayadh Zulkifli Amin menjadi contoh di sebalik kekecewaan itu.
"Dari dulu saya ikut (perkembangan) Kedah, memang terbaik. Sekarang, tengok pemain tempatan, ada yang kurang memuaskan apabila berada di pentas perlawanan.
"Contohnya, pemain muda kita, Fayadh. Kalau boleh 2024 ni, jangan dikekalkan kerana prestasinya cukup teruk. Gantilah dengan orang lain," kata Che Omar Ibrahim.
BACA LAGI: Bukan setakat tonggak KDA FC, winger Harimau Muda juga makin hampir ke Sri Pahang
Fayadh akan terus beraksi buat skuad Sang Kenari meskipun prestasinya kurang memberangsangkan. — Facebook/KDA FC
"Saya ikut perkembangan Kedah hampir 30 tahun, rumah pun tidak jauh daripada Stadium Darul Aman. Terus terang, pemain sekarang tiada semangat negeri.
"Kebanyakan mencari makan dengan bermain bola. Yang ada semangat hanyalah penyokong, tetapi apa bola buat kerana semua sudah dikomersialkan," kata Mat Loceng.
Musim lalu, Fayadh tidak mencatatkan sebarang bantuan hantaran (assist) di hadapan pintu gol buat skuad Sang Kenari dalam 24 penampilan direkodkannya di pentas Liga Super.
Bagaimanapun, dia masih diberikan peluang oleh pengendali, Nafuzi Zain memandangkan kebolehannya untuk membawa bola melepasi benteng pertahanan lawan masih mencuri perhatian.
Kedah pasti mengharapkan kesudahan lebih baik musim ini apabila hanya berada di tangga keempat Liga Super 2023 selain ditunjukkan jalan keluar awal daripada Piala FA, Piala Malaysia serta MFL Challenge Cup. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram