Kedah, KL City terselamat tapi Perlis United kempunan ke Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 20 Mac 2024

Masa depan berbeza menimpa ketiga-tiga kelab itu menjelang tirai saingan Liga Super 2024/25.

STATUS Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC terjawab pada Rabu apabila diumumkan kedua-dua kelab Liga Super itu akan diberikan peluang beraksi dalam Liga Super.

Menurut kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), masing-masing gagal menyelesaikan 50 peratus daripada gaji tertunggak musim lalu meskipun sejumlah wang sudah dikeluarkan.

Bagaimanapun, peluang masih diberikan kerana isu tersebut masih dapat diselesaikan dengan Dewan Bandaraya KL sudah menghantar surat rasmi akan masalah itu sementara KDA FC sudah menghantar bukti sumber kewangan yang akan diterima.

"Sekiranya KL City dan KDA FC gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan gaji berkenaan pada tarikh kedua 30 Mac 2024, hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda sebanyak RM 50,000 akan dikenakan," tulisnya.

431997111_432631209158868_307236308672182948_n

Dua kenyataan dikeluarkan MFL pada Rabu mengenai masa depan Liga Super. Facebook/MFL

Sementara itu, harapan Perlis United untuk kembali ke Liga Super tidak kesampaian apabila gagal memperloehi lesen kebangsaan bagi Liga Super 2024/25.

"Walaupun tarikh akhir penyerahan pada 22 Mac masih belum berakhir namun First Instance Body (FIB) mengesahkan PUFC gagal tiga daripada empat syarat awal itu dengan tidak mengemukakan sebarang dokumen seperti yang diminta," katanya.

Sebelum ini, skuad Singa Utara cuba memperolehi lesen untuk beraksi di divisyen teratas dengan mengemukakan bukti bahawa mereka memiliki dana mencecah RM25 juta.

Namun, setelah melakukan penilaian, kelab Utara tanah air itu gagal menghantar dokumen diperlukan, sekali gus gagal menempah slot ke Liga Super musim depan.

Setakat ini, hanya terdapat 13 kelab beraksi dalam Liga Super dengan MFL masih meneruskan usaha memastikan slot terakhir itu dapat diisi dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram