SASARAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengembalikan permulaan kalendar akademik sekolah kepada Januari bermula 2026 menjadi satu berita gembira buat ibu bapa di seluruh negara.
Di media sosial, rata-rata ibu bapa melahirkan kelegaan terhadap langkah tersebut yang membolehkan sesi persekolahan kembali kepada normal.
Ia selepas hampir lebih tiga tahun murid di sekolah seluruh negara memulakan sesi persekolahan yang bermula pada Mac sejak 2022 susulan penularan pandemik Covid-19.
Bercakap di Dewan Negara pada Khamis, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pengembalian tarikh sesi akademik itu merupakan komitmen penting yang ingin dilaksanakan kerajaan.
"Sesi pembukaan sekolah yang kini bermula pada Mac akan dikembalikan kepada Januari mulai 2026.
"Ini merupakan komitmen penting untuk memulihkan sesi akademik (kepada keadaan pra-pandemi)," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Peniaga mengamuk, siap ugut nak pancung kepala penguat kuasa gara-gara isu lesen
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
BACA LAGI: [VIDEO] Kotak hitam helikopter APMM terhempas di Klang masih belum ditemui
Dalam pada itu, di ruangan komen, warganet sememangnya menyambut baik berita tersebut.
"Alhamdulillah. Kembali ke normal," kata Rynn Eriena.
"Sokong sangat. Baru keterujaan itu ada. Baru boleh cakap awal tahun masuk sekolah sesi baharu," tulis Elmilia LiaEmy.
"Ok la macam itu awal bulan November dah mula cuti. Sampai ke bulan Januari. Senang kira," ujar Dayan Luhat Wan.
Sementara itu, terdapat warganet turut menimbulkan persoalan mengapa kerajaan mengambil tempoh sehingga dua tahun untuk melaksanakan langkah berkenaan.
Mengulas mengenai isu tersebut, seorang pengguna Facebook, Nik Adli berkata, langkah berkenaan tidak boleh dilaksanakan secara terus kerana perlu memenuhi minimum hari persekolahan untuk setahun.
"Minimum hari persekolahan 190 hari. Enam bulan lebih. Itu tanpa cuti. Budak-budak tak boleh terus belajar tanpa cuti," tulisnya.
Pada masa sama, terdapat juga individu dipercayai tenaga pendidik mengakui bahawa sasaran untuk mengembalikan tarikh pembukaan berkenaan turut menyebabkan hari persekolahan terpaksa dipendekkan.
Malah, ia juga dijangka memberikan kesan terhadap murid Tingkatan Lima yang mempunyai waktu yang lebih pendek untuk membuat persediaan bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Ya memang bagus. Buat masa ni kecilkan silibus. Kami guru-guru jadi kelam kabut sebab takwim semakin pendek. Mula 2026 baru balik asal," ujar Ali Al-Ridha Husin.
Tambahnya, murid Tingkatan Lima yang bakal menghadapi ujian percubaan SPM juga dijangka mempunyai tempoh tidak sampai empat bulan untuk menghabiskan silibus jika ditolak hari cuti dan takwim sukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram