KOTAK hitam helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terhempas di perairan Pulau Angsa, 5 Mac lalu masih belum ditemui.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dilaporkan berkata, usaha pencarian kotak hitam berkenaan masih sedang dijalankan.
"Setakat ini siasatan berkaitan insiden pendaratan cemas helikopter terbabit masih dijalankan.
"Punca belum lagi dikenal pasti, pencarian kotak hitam masih dijalankan, bila dah siap segala laporan kita akan kongsikan," katanya seperti yang dipetik menerusi laporan Sinar Harian.
BACA LAGI: Peniaga asal Kompleks PKNS perlu diberi keutamaan kekal imej ikonik Shah Alam — Azli Yusof
Hamid berkata demikian semasa sidang akhbar sempena pelancaran Op Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan empat anggota dan pegawai terlibat dalam insiden berkenaan sudah kembali memulakan tugas.
Pada 5 Mac lalu, sebuah helikopter milik APMM dengan pendaftaran M72-01 terpaksa melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa dalam kejadian sekitar pukul 9.55 pagi.
Ketika insiden, helikopter berkenaan dinaiki empat anggota termasuk pegawai APMM dilaporkan sedang melakukan latihan menyelamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram