SUDAH lebih seminggu sesi persekolahan 2023/2024 bermula, namun semakin banyak pula isu dibangkitkan terutamanya berhubung fasiliti sekolah.
Terbaharu, seorang warga maya meluahkan rasa kecewanya dengan situasi yang berlaku di sebuah sekolah di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook Azrul Indahouse pada Selasa, keadaan di sekolah berkenaan telah menyukarkan sesi pembelajaran murid.
BACA LAGI: Tak jadi ulat buku semata-mata, 4 langkah KPM diharap bantu murid kuasai 3M — PIBGN
Laluan yang terpaksa digunakan oleh murid di sekolah berkenaan. — Facebook
Menurutnya, kesemua murid terpaksa belajar di dalam kelas yang tidak dibekalkan elektrik serta tiada kemudahan asas disediakan seperti kipas, lampu dan tandas.
Bukan itu sahaja, mereka juga dikatakan berdepan masalah laluan ke kelas tidak selamat kerana dikelilingi dengan projek penyelenggaraan.
Katanya, projek tersebut melibatkan runtuhan bangunan lama dan ia tergendala sekali gus memberi suasana tidak sihat kepada para murid.
"Sedih, marah, kecewa, semua ada lah. Anak belajar dalam kelas yang takde elektrik, takde kipas dan lampu, tandas dan bilik air takde, dengan keadaan laluan ke kelas yang begitu tak selamat dikelilingi dengan projek runtuhan bangunan lama, ada tu pulak tak ditutup.
"Projek penyelengaraan pulak dari kontraktor tak habis. Dengarnya dah berhenti kerja sebab duit tak ada? Kena tunggu peruntukan lain pula? Macam mana lantik kontraktor yang takde duit lepastu tinggalkan tapak projek yang diselenggara separuh jalan?," tulisnya.
Katanya, ibu bapa dijanjikan dengan penyediaan bilik darjah sementara iaitu menggunakan kontena sebelum sesi sekolah dibuka.
BACA LAGI: Tahap penguasaan UASA diubah kepada peratus, gred mulai tahun ini — Fadhlina Sidek
Kawasan sekolah yang dikelilingi besi penghadang menyukarkan laluan murid. — Facebook
Bagaimanapun, pihak pentadbir dikatakan masih tidak bertindak sedemikian dan hanya memberi jaminan palsu kepada ibu bapa.
"Pada sesi taklimat, ibu bapa dijanjikan oleh pihak sekolah dengan bilik darjah sementara yang akan disediakan iaitu kontena.
"Bila buka sahaja sekolah, pihak pentadbir masih lagi berkata yang kontena dalam sebut harga dan akan dipasang secepat mungkin. Akhirnya, kena game mcm tu je. Kontena tiada, budak jadi mangsa," luahnya.
Pada masa sama, pemilik akaun tersebut memohon agar pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Exco Pendidikan Negeri Sembilan mengambil tindakan wajar dengan memindahkan kesemua murid ke tempat lebih selesa dan selamat.
"Projek ni makan tahun nak siap. Takkan semasa nak mula buat projek, sekolah dgn Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tak ada jalan atau tak fikir apa akan jadi kalau budak-budak sekolah?
"Takkan main langgar je roboh-roboh bangunan tak ada perancangan mana nak letak kelas sementara, mana nak bukak laluan selamat murid-murid?," tambahnya.
Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, bekalan elektrik ke kelas telah disambung oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas digesa pihak berwajib pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram