ISU peniaga bazar Ramadan gulung tikar atau terpaksa tutup kedai kerana tidak mampu membayar sewa akibat kekurangan pelanggan selepas seminggu bukanlah fenomena baharu yang kita dengar.
Ada banyak faktor yang akan menyebabkan keadaan itu berlaku, antara ialah harga makanan tidak munasabah, kualiti teruk dan servis peniaga itu sendiri.
Malah topik peniaga bazar yang terpaksa berhenti berniaga ini acap kali dibincangkan dalam kalangan peniaga dan warga maya sendiri.
Seorang pengguna Facebook, Mohd Nazim Badruddin mempunyai hujahnya yang tersendiri bagi mengulas isu tersebut.
"Seminggu pertama bulan Ramadan biasanya pembeli sudah jumpa gerai idaman mereka. Bila masuk minggu kedua, pembeli tidak lagi gunakan kaedah cuba-cuba sebaliknya akan fokus pada gerai kegemaran mereka.
"Kalau mengikut trend tahun lepas, apabila masuk minggu kedua, akan ada gerai yang sudah ketiadaan pelanggan dan mula menutup gerai mereka dengan alasan tidak dapat menampung kos dan jualan tidak balik modal.
"Kemungkinan besar gerai-gerai ini sudah tidak ada sambutan berbanding gerai lain. Antara faktor yang menyumbang kepada penutupan gerai ini makanan yang mahal dan rasa yang tidak memenuhi selera kebanyakan pembeli atau bahasa kasarnya 'tak sedap'," katanya melalui satu hantaran Facebook pada Selasa.
BACA LAGI : [VIDEO] 'Kenyang makan Roti John Plastik', peniaga bazar dipesan jangan sekadar kejar 'hype' tapi patut prihatin isu keselamatan makanan
Peniaga bazar Ramadan pada tahun ini akan berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar kerana kebanyakan pelanggan pastinya lebih berjimat-cermat untuk membeli. — Gambar Hiasan
BACA LAGI : 'Semua benda nak murah susah juga', ramai setuju air tebu 'jag tersorok' dijual ikut harga berpatutan
Tambahnya lagi tindakan peniaga bazar yang meletakkan harga mahal pada juadah yang dijual akhirnya memakan diri sekiranya makanan atau minuman itu tidak menepati cita rasa pembeli.
"Kalau mahal tapi sedap masih ada yang membeli terutama yang memilih rasa. Kalau kurang sedap tapi harganya murah mungkin akan menjadi pilihan untuk yang membeli untuk kenyang bukan rasa.
" Tapi kalau mahal dan tak sedap, pasti akan diucapkan selamat tinggal. Tidak mudah untuk berniaga terutama yang hanya berniaga pada bulan Ramadhan. Bak kata netizen sekarang, 'Masak tak sedap tak mengapa, tapi tolong jangan berniaga di bazar Ramadan'," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut bersetuju dengan pendapat Mohd Nazim.
Fairus Mujab berkata, kebanyakan peniaga yang gulung tikar ini sebenarnya berpunca daripada makanan yang kurang enak.
"Ini bukan masalah pengunjung bazar tiada duit nak beli makanan sehingga menyebabkan peniaga tutup kedai tetapi lebih kepada peniaga yang tak pandai masak dan jual makanan yang tidak berkualiti," tulisnya.
Ishak Ibrahim turut bersetuju dengan hujah Mohd Nazim dan membandingkan harga makanan yang dijual di sesetengah tempat.
"Saya setuju kalau ada gerai yang ditutup atas faktor harga makanan yang dijual mahal sedangkan ada tempat-tempat yang dijual murah walaupun jenis makanan yang sama.
"Sebagai contoh ada peniaga yang menjual martabak pada harga RM3.00 dan sudah pasti beliau mendapat sambutan. Sementara ada tempat menjualnya pada harga RM10 sudah pastinya kurang mendapat sokongan," tulisnya.
Sementara itu, Suhaimi Om pula berpendapat peniaga bazar Ramadan pada tahun ini akan berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar kerana kebanyakan pelanggan pastinya lebih berjimat-cermat untuk membeli.
"Orang ramai lebih kepada mood nak berjimat kerana baru buka sekolah. Pada masa sama sambutan puasa dan Hari Raya Aidilfitri memerlukan perbelanjaan yang besar.
"Anak dan isteri sudah mula bercerita nak balik kampung. Ini semua duit, nak servis kereta, baju raya, duit minyak dan kos pulang ke kampung.
"Bila sampai di kampung, sudah pasti memerlukan perbelanjaan lagi. Perlu juga memberi sedikit wang untuk kegunaan di sana," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram