TIDAK sampai seminggu berlakunya insiden peniaga bertengkar dengan anggota penguat kuasa di Alor Setar, Kedah baru-baru ini, kini tular lagi satu kejadian serupa pada Isnin.
Berdasarkan video tersebar di media sosial, insiden terbaharu itu dipercayai berlaku di Kuala Lumpur melibatkan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang lelaki.
Di dalam klip berkenaan, lelaki berkenaan yang dipercayai suami kepada seorang peniaga wanita dilihat sedang bercakap dengan nada cukup agresif kepada beberapa anggota penguat kuasa.
Dia didapati turut mencabar dan mengugut anggota terbabit.
Harap @PDRMsia kutip cepat sikit, biar dia berpuasa dalam lokap.
Meniaga takde lesen, bila kena angkut mengamuk tak tentu pasal siap buat ugut bunuh. pic.twitter.com/KSyJN751GK
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) March 18, 2024
Menerusi klip berdurasi satu minit 26 saat itu, lelaki berkenaan dilihat menadah mukanya dan mencabar anggota tersebut untuk membuat tindakan fizikal terhadapnya.
Lebih mengejutkan, dia juga didengar kemudiannya mengugut untuk memancung anggota penguat kuasa.
Difahamkan, situasi itu tercetus selepas timbul isu mengenai pemeriksaan pelesenan di kawasan meniaga berkenaan.
BACA LAGI: Peniaga asal Kompleks PKNS perlu diberi keutamaan kekal imej ikonik Shah Alam — Azli Yusof
Buku rekod didakwa milik lelaki terbabit yang dipercayai menerima rawatan psikiatri di HKL.
Dalam perkembangan sama, Edisi Siasat mendakwa penguat kuasa DBKL yang terbabit dalam kekecohan itu mengalami masalah psikiatri dan menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Penguat kuasa DBKL ni ada masalah mental dan sedang follow up psikiatri di HKL. Tapi masih boleh duduk dalam Bahagian Penguatkuasaan pasal apa?
"Sepatutnya rehatkan dia di bahagian lain supaya tidak jadi emosi macan ini apabila berdepan dengan orang awam nanti," dakwanya.
Majoriti sedang berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada DBKL mengenai kejadian tersebut.
Pada minggu lalu, tindakan dua peniaga lelaki di Dataran Medan Bandar, Alor Setar, Kedah menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas sehingga menimbulkan kekecohan membawa padah selepas mereka ditahan polis pada Jumaat.
Kedua-dua individu itu ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram