TERAWIH merupakan ibadah sunnah Rasulullah SAW yang boleh dibuat setiap umat islam menjelang bulan Ramadan.
Keutamaan dan kelebihan solat sunat terawih pernah dijelaskan dalam hadis daripada Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنهُ من قام مع الإمامِ حتى ينصرِف, كُتِب لهُ قِيامُ ليلةٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”.
Dengan mengerjakan ibadah istimewa ini, seseorang dapat meningkatkan darjat di sisi ALLAH.
Meskipun begitu, terdapat pula sikap segelintir individu yang bersifat mementingkan diri semasa mengerjakan solat terawih berjemaah.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Iman Hidayah kecewa apabila sesetengah wanita suka membiarkan saf solat terputus dan berlompong.
"Sakit mata, sakit hati. Sebab tu suka solat di rumah supaya hati tak dijentik dengan hasutan syaitan," tulisnya.
BACA LAGI: Doa ketika iftar antara doa yang baik untuk diamalkan sepanjang Ramadan
Seorang pengguna di Facebook kecewa melihat sikap segelintir individu yang tidak mahu merapatkan saf.
Iman Hidayah berpendapat mungkin segelintir individu bertindak sedemikian kerana lebih memikirkan soal duniawi.
"Pendapat saya mungkin orang yang bersikap sebegini kerana dia memilih iaitu tidak mahu duduk sebelah orang tua atau orang selekeh.
"Mungkin ada yang ingin mencari tempat yang berhampiran kawasan pintu keluar," tulisnya.
Iman Hidayah turut berharap individu sebegini memahami adab solat berjemaah dengan sebaiknya.
Bercakap soal itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menekankan keperluan menitikberatkan kesempurnaan dalam solat.
"Kalau dalam tindakan seharian pun kita cari kesempurnaan, jadi dalam solat pun kena begitu," katanya kepada Majoriti.
Memetik kata kata daripada daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
سوُوا صُفُوفكُم فإِن تسوِية الصفِ مِن تمامِ الصلاةِ
Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk di dalam kesempurnaan solat” [Riwayat Muslim (433)]
Mohamad Shukri turut menganggap seseorang yang tidak mahu meluruskan saf sudah lari daripada norma kebiasaan ibadah itu.
"Lari daripada norma biasa kita, amalan solat kita kena tepat dengan syariat Islam, niat solat juga perlu diperbaiki iaitu perlu ikhlas dalam beribadat," tulisnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Nenek meniarap selamatkan cucu nyaris kena patuk ular tedung masuk rumah
Meluruskan saf termasuk di dalam adab-adab solat berjemaah.
Mohamad Shukri turut menjelaskan mengenai kedudukan yang terbaik semasa berjemaah bagi golongan lelaki dan wanita.
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
خيرُ صُفُوفِ الرِجالِ أولُها, وشرُها آخِرُها, وخيرُ صُفُوفِ النِساءِ آخِرُها, وشرُها أولُها
Maksudnya: “Sebaik-baiknya barisan saf lelaki-lelaki adalah awalnya dan seburuk-buruknya adalah yang terakhir. Sebaik-baik barisan saf perempuan adalah di akhir dan seburuk-buruknya adalah diawalnya." [Hadis Riwayat Muslim]
Di dalam hadis ini, ia menjelaskan bahawa kedudukan yang paling baik untuk lelaki ketika solat jemaah adalah di saf hadapan dan yang paling buruk adalah pada saf terakhir.
Bagi wanita pula, saf terbaik bagi mereka adalah yang terakhir jika tiada tabir pembatas antara mereka dengan bahagian solat lelaki bagi mengelakkan fitnah.
Namun, Mohamad Shukri berkata, jika terdapat tabir pembatas antara saf lelaki dan wanita, maka saf terbaik bagi wanita adalah saf pertama kerana tabir pembatas itu dapat menghilangkan kekhuatiran terjadinya fitnah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram