SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti ternanti-nanti kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga yang dibina.
Mana tidaknya, dengan adanya zuriat sudah tentu akan menambah bibit-bibit kegembiraan buat pasangan suami isteri terutama dalam melayan telatah dan ragam anak kecil.
Namun, tidak semua pasangan bernasib baik dalam melayari bahtera rumah tangga apabila ada yang belum memiliki zuriat sendiri.
Baru-baru ini, seorang pelakon jelita, Hannah Delisha menceritakan mengenai nasibnya mengalami keguguran anak pertama bersama suami tercinta, Imam Shah.
Pastinya berita itu menimbulkan rasa sedih yang sangat mendalam terhadap dirinya, apatah lagi keguguran yang dialami merupakan cahaya sulung mereka.
"Semoga ALLAH menyembuhkan kita, meringankan kesakitan kita, mengisi hati kita dengan ketenangan dan keselesaan.
"Insya-ALLAH jumpa di syurga nanti sayang," tulisnya di Instagram.
Hannah Delisha mengalami keguguran anak pertama bersama suami tercinta, Imam Shah.
Mengulas soal itu, Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin berkata, kanak-kanak yang meninggal sebelum baligh dijanjikan syurga.
Katanya, itulah berita gembira daripada ALLAH buat pasangan yang kehilangan anak mereka di usia kecil.
Beliau seterusnya menjelaskan kenyataan tersebut dengan memetik satu hadis.
Dalam suatu peristiwa, Rasulullah SAW dibawa malaikat untuk melihat suasana di dalam syurga. Antara yang baginda lihat ialah seorang lelaki tinggi yang di sekelilingnya dipenuhi kanak-kanak. Malaikat menerangkan kepada Nabi:
وأما الرجُلُ الطوِيلُ الذِي فِي الروضةِ فإِنهُ إِبراهِيمُ صلى الله عليه وسلم وأما الوِلدانُ الذِين حولهُ فكُلُ مولُودٍ مات على الفِطرةِ
Maksudnya: Adapun lelaki yang tinggi itu di dalam Raudhah ialah Nabi Ibrahim SAW, dan sekeliling baginda itu ialah wildan (anak yang meninggal dunia pada waktu kecil). Maka semua yang dilahirkan pada waktu kecil itu mati di atas fitrah (yakni Islam dan dimasukkan ke dalam syurga). [Hadis riwayat al-Bukhari (7047)]
BACA LAGI: 'Penat tuntut ilmu takkan rugi', ramai kecewa sikap ibu bapa hina pendidikan KAFA
Ibu bapa pasti sedih jika menerima berita kematian anak mereka.
Anak-anak kecil itu pasti mengingati ibu bapanya dan akan memberikan syafaat kepada ibu bapa mereka, dengan izin ALLAH. Daripada Abu Hassan RA:
عن أبي حسان قال: قلتُ لأبِي هُريرة: إنه قد مات لِي ابنانِ, فما أنت مُحدِثِي عن رسُولِ اللهِ بِحدِيثٍ تُطيِبُ بِهِ أنفُسنا عن موتانا؟ قال: نعم, صِغارُهُم دعامِيصُ الجنةِ, يتلقى أحدُهُم أباهُ - أو قال أبويهِ - فيأخُذُ بِثوبِهِ, - أو قال بِيدِهِ - كما آخُذُ أنا بِصنفةِ ثوبِك هذا, فلا يتناهى حتى يُدخِله اللهُ وأباهُ الجنة
Maksudnya: Aku bertanya kepada Abu Hurairah tentang keadaan dua anak kecilku yang telah meninggal dunia, “Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah SAW yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?”
Jawab Abu Hurairah, “Boleh, anak-anak mereka ialah da’amis syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka, atau ibu bapa, lalu menarik bajunya, atau menarik tangannya, seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga ALLAH memasukkannya dan ibu bapanya ke syurga." [Hadis riwayat Imam Muslim (2435)]
Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah:
“Da`amis itu bererti ahli syurga yang kecil, asalnya ialah du`mūs yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air, mereka tidak berpisah dengannya. Ertinya, anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya.” [Rujuk kitab Syarh Muslim (16/182)]
Berkata Ibn al-Athir Rahimahullah:
“Mereka itu bebas bergerak di dalam syurga, masuk ke dalam rumah-rumahnya, tiada apa yang menghalang mereka daripada suatu tempat, seperti perangai kanak-kanak ketika di dunia, tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki haram (yakni kawasan peribadi satu-satu keluarga), tiada siapa yang perlu berhijab apabila dengan mereka.” [Rujuk kitab al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar (2/289)].
Ini menunjukkan betapa beruntungnya anak-anak yang terpilih oleh ALLAH untuk berada di samping penjaga terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram