[VIDEO] Pusat Rehabilitasi PERKESO beri sinar baharu pencarum kembali jalani hidup normal


  • Massa
  • Isnin, 18 Mac 2024

Selain memberi rawatan dan bantuan kepada pencarum yang kemalangan, Pusat Rehabilitasi PERKESO juga menyediakan perkhidmatan rehabilitasi yang komprehensif kepada Orang Berinsurans PERKESO.

SEBANYAK 70 peratus daripada 10,695 individu yang mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tempoh 2019 hingga Januari lepas telah berjaya kembali ke alam pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, daripada jumlah yang mendapatkan rawatan berkenaan, 494 adalah mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak.

“Mereka yang layak untuk dapat rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO terdiri daripada dua kategori iaitu 90 peratus pencarum dan 10 peratus bukan pencarum PERKESO,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sehubungan itu, pusat rehabilitasi tersebut dilihat sebagai satu tempat yang memperjuangkan kebajikan golongan pekerja di negara ini.

Manakan tidak, rata-rata warga maya yang telah mendapat rawatan di pusat berkenaan meluahkan rasa gembira apabila berjaya mendapatkan peluang kedua untuk kembali bekerja.

Berdasarkan reaksi warga maya, ternyata pesakit yang juga pencarum PERKESO memuji kemudahan dan rawatan di pusat rehabilitasi berkenaan sekali gus memberikan sinar baru buat mereka.

Malah ada meluahkan rasa syukur selepas mampu pulih daripada kecederaan atau sakit yang dialami.

417423575_7579605758750623_4488519144508385519_n

Azley Kassim (tengah) memuji perkhidmatan yang ditawarkan di PERKESO Rehabilitation Centre Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini. — Facebook

Seorang pengguna Facebook, Azley Kassim memuji perkhidmatan yang ditawarkan di PERKESO Rehabilitation Centre Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Alhamdulillah selesai sudah menjalani rehab di PERKESO Quill City Mall selama enam bulan.

"Datang berkerusi roda enam bulan yang lalu tapi alhamdulillah pulang dengan bertongkat (albow crutches).

"Terima kasih pada cikgu dan staf di PERKESO Rehabilitation Centre Quill City Mall, anda semua terbaik. Terima kasih juga pada kawan semua. Terima kasih ALLAH atas nikmat pinjaman mu," tulisnya.

BACA LAGI: Ramai akui ketagih manis, Kempen Tolak Gula PERKESO 'jentik' hati golongan muda

WhatsApp Image 2024-03-16 at 23.08.19

Fuat ketika menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak. — Facebook

Fuat Abd Hamid turut mengucapkan kasih kepada Pusat Rehabilitasi PERKESO yang telah banyak membantu dirinya pulih daripada kecederaan.

Fuat turut memuat naik beberapa gambar di Facebook miliknya yang memaparkan dirinya sedang menjalani beberapa rawatan.

"Terima kasih kepada semua cikgu dan kakitangan Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak.

"Terima rawatan daripada tahun 2017, saya merupakan penghuni pusat rehabilitasi PERKESO. Alhamdulillah kini saya boleh memandu secara normal," tulisnya.

BACA LAGI: 'Lebih sihat dengan PERKESO!', Kempen Tolak Gula tingkat kesedaran ramai tentang CKD

Sementara itu, ibu kepada pesakit yang juga pencarum PERKESO, Qurratuaini Qurratuaini berkata, anaknya, Amin banyak mengalami perubahan selepas menjalani fisioterapi di pusat rehabilitasi PERKESO.

Menurutnya, anak sulungnya itu terlibat kemalangan pada Februari 2022 menyebabkan dia terlantar di atas katil selain memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa.

Begitu pun, selepas dua tahun menerima rawatan, dia boleh bergerak sendiri malah mampu untuk berjalan kaki seperti sedia kala.

"Berkat kesabaran Amin, alhamdulillah dah banyak perubahan pada diri Amin.

"Terima kasih juga pada pihak PERKESO banyak tolong fisioterapi (di) Kuala Terengganu. Amin sekarang berada di fisioterapi rehabilitasi PERKESO Melaka.

"Dari 'kosong' sampai boleh berjalan, duduk, lipat kaki, berdikari untuk diri sendiri. Terima kasih juga kenalan sahabat Facebook yang banyak doakan Amin. Sayang semua," ujarnya.

Selain daripada memberi rawatan dan bantuan kepada pencarum yang kemalangan, Pusat Rehabilitasi PERKESO juga menyediakan perkhidmatan rehabilitasi yang komprehensif kepada Orang Berinsurans PERKESO.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pusat Rehabilitasi PERKESO, anda boleh melayari laman web https://www.rehabmalaysia.com/ atau ikut perkembangan terkini PERKESO menerusi pautan https://www.perkeso.gov.my/en/e-newsletter.html. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram