[VIDEO] 12,000 pekerja wanita di bawah Kesuma terima caruman SKSSR percuma


  • Massa
  • Khamis, 14 Mac 2024

Steven Sim berkata, caruman SKSSR secara percuma itu merupakan satu bentuk penghargaan daripada Kesuma bersempena Hari Wanita.

SERAMAI 12,500 pekerja wanita di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) termasuk kesemua jabatan dan agensi akan mendapat caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) secara percuma.

Jumlah itu turut bakal melibatkan kakitangan lelaki yang mencarum bagi isteri mereka.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah tersebut merupakan satu bentuk penghargaan daripada Kesuma bersempena Hari Wanita.

“Cetusan idea ini adalah langkah awal Kesuma dan berharap ia menjadi contoh bagaimana kita menghargai wanita terutamanya kepada golongan wanita yang berkerja sebagai suri rumah kerana mereka ini juga tergolong dalam ekonomi penjagaan (care economy) yang turut sama menyumbang kepada pembangunan negara.

"Ini adalah satu penghargaan daripada pihak Kementerian Sumber Manusia bersempena sambutan Hari Wanita di peringkat Kesuma,” katanya.

Sementara itu, Steven Sim berkata, pihak Kesuma sedang meneliti dan memperhalusi pindaan had umur kelayakan SKSSR daripada 55 tahun ke 60 tahun.

BACA LAGI: Jadikan Birmingham muflis sebagai iktibar, ini pro-kontra Malaysia anjur Sukan Komanwel 2026

DSC01422 (1)

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

Katanya, langkah itu bakal membolehkan 720,600 lagi golongan wanita yang akan layak mencarum dalam SKSSR.

Ujar beliau, sepanjang tempoh 2023, seramai 205,000 wanita telah berjaya mencarum selepas ia diperkenalkan pada 2022.

"Bagi 2024 pula, sasaran PERKESO adalah sebanyak 500,000 wanita," katanya.

Dalam majlis yang sama, Kesuma melalui PERKESO menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) Program Kerjasama bagi SKSSR bersama Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKNM).

Turut hadir dalam acara berkenaan ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Memorandum itu bertujuan antara lain untuk memberi galakan kepada caruman SKSSR selain membantu ramai lagi golongan wanita dilindungi di bawah caruman skim ini.

Pihak yang menaja atau mencarum skim ini melalui YKNM juga layak mendapat pengecualian cukai di bawah peruntukan Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ini merupakan salah satu inisiatif Kesuma di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam menghargai dan memperkasa peranan wanita.

Ia dilakukan melalui penyediaan perlindungan keselamatan sosial negara di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 kepada suri rumah dan Akta Keselamatan Sistem Insurans Pekerjaan 2017 iaitu golongan pencari kerja khususnya wanita bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada setiap 8 Mac setiap tahun.

Sebagai permulaan terhadap MoU ini, 10 syarikat swasta mengambil bahagian dalam inisiatif dengan menaja caruman SKSSR bagi golongan wanita B40 eKasih.

Syarikat terlibat adalah Tropicana Corporation Berhad, Malayan Banking Berhad, Berjaya Corporation Berhad, Merchantrade Sdn Bhd, CIMB Bank, Mesiniaga Berhad, Sime Darby Property, Lembaga Tabung Haji, Cagamas Berhad dan Jakel Group.

BACA LAGI: Moreh antara 3 tradisi masyarakat Melayu meresap jadi amalan umat Islam sepanjang Ramadan

DSC01021

PERKESO turut menganjurkan Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs PERKESO 2024 - Tiada Yang Terpinggir dengan menyediakan peluang pekerjaan waktu bekerja fleksibel dengan tawaran gaji berpatutan.

Sumbangan itu memanfaatkan kira-kira 4,864 wanita dari golongan B40 eKasih berjumlah RM558,360.

Nancy berkata, pelaksanaan program itu membuktikan sokongan pihak swasta terhadap kepentingan mencarum SKSSR selain menghargai golongan wanita terutama mereka dalam kalangan B40.

SKSSR menyediakan tiga perlindungan utama, iaitu bencana domestik, keilatan dan kematian dengan premium perlindungan serendah RM10 sebulan atau RM120 setahun.

Dalam pada itu, PERKESO turut menganjurkan Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs PERKESO 2024 - Tiada Yang Terpinggir, selari dengan tema Hari Wanita tahun ini iaitu 'Wanita Dijulang, Negara Gemilang'.

Tema pada tahun ini dipilih bagi menghargai peranan kaum wanita dalam pembangunan ekonomi negara serta membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.

Antara keistimewaan ditampilkan dalam karnival kali ini adalah melalui penyediaan peluang pekerjaan waktu bekerja yang fleksibel dengan tawaran gaji berpatutan.

Peluang ini akan membuka ruang kepada golongan wanita untuk mendapat keseimbangan kerja dan tugasan rumah.

Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan di Karnival Kerjaya PERKESO kali ini yang membabitkan 50 majikan daripada pelbagai industri.

Antara majikan terlibat dalam karnival kali ini adalah HSBC Bank, UOA Group, RHB Banking Group, Co-Opbank Pertama, DHL dan Habib Group.

Selain itu, karnival ini juga memberi perkhidmatan lain seperti penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs serta dan kaunseling kerjaya oleh PERKESO.

Orang ramai yang hadir juga akan menikmati pelbagai aktiviti lain seperti taklimat dan promosi SKSSR, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk penyedia latihan.

200 pengunjung terawal juga bakal mendapat e-wallet Touch ‘n’ Go secara percuma yang bernilai RM10. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram