Kerajaan rancang benarkan individu bekerja sendiri terus carum PERKESO lepas umur 60 tahun


  • Primer
  • Khamis, 14 Mac 2024

Abdul Rahman berkata, kementeriannya akan menjalankan kajian bagi menentukan pendekatan sesuai bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas untuk terus mencarum kepada PERKESO.

INDIVIDU yang bekerja sendiri berkemungkinan bakal dibenarkan untuk terus membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) meskipun selepas mencapai usia melebihi 60 tahun.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan yang sedang dibuat kerajaan.

"Terdapat empat enakmen yang mengawal selia keselamatan sosial berkaitan pekerja. Tiga hanya terpakai kepada mereka yang berumur 60 tahun ke bawah dengan hanya Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) meliputi kemalangan kerja selepas umur 60 tahun," katanya.

Abdul Rahman berkata, kementeriannya akan menjalankan kajian bagi menentukan pendekatan sesuai bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas untuk terus mencarum kepada PERKESO.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) di Dewan Negara pada Khamis.

Dalam jawapannya, Abdul Rahman berkata, kajian itu selaras dengan seruan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk melihat jaringan keselamatan sosial diperluaskan kepada mereka berumur atas 60 tahun.

BACA LAGI: Jadikan Birmingham muflis sebagai iktibar, ini pro-kontra Malaysia anjur Sukan Komanwel 2026

2468329

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

BACA LAGI: Moreh antara 3 tradisi masyarakat Melayu meresap jadi amalan umat Islam sepanjang Ramadan

Beliau menambah bahawa terdapat kira-kira 1.7 juta penjawat awam kini mendapat faedah pencen berbanding hampir 10 juta yang bekerja sendiri.

Menurutnya, mereka yang bekerja sendiri pada masa ini mendapat manfaat daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO.

Ujar beliau, langkah meluaskan jaringan keselamatan sosial kepada mereka berumur 60 tahun ke atas adalah penting kerana negara sedang menuju ke arah menjadi negara tua menjelang 2030.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, faedah di bawah skim hilang upaya PERKESO meningkat antara 0.7 dan 9.4 peratus sejak 1 Januari 2023.

"Ini memberi manfaat kepada 456,000 pencarum di bawah skim kemalangan dan hilang upaya pekerja berjumlah RM234 juta," katanya.

Beliau menambah pencen minimum juga dinaikkan daripada RM475 kepada RM550 sebulan dan ia memberi manfaat kepada 56,000 pencarum dengan melibatkan nilai kewangan berjumlah RM21 juta.

Beliau juga memberi jaminan kepada bekas menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan (BN-Tapah) bahawa rancangan sedang dibuat untuk menangani penduduk yang semakin tua di negara ini.

Berdasarkan angka dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM), bilangan mereka yang berumur 65 tahun dijangka mencecah 20 peratus menjelang 2056, menjadikan Malaysia sebagai negara tua. — The Star/MARTIN CARVALHO/ARFA YUNUS/BENJAMIN LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram