SETIAP kali tibanya musim perayaan, pusat beli-belah pastinya menjadi antara tempat yang paling meriah dikunjungi orang ramai.
Untuk sambutan Aidilfitri, suasana itu tentunya sudah mula dirasai sejak bermula bulan puasa.
Pada waktu ini, kita akan mendapati bahawa kebanyakan pusat beli-belah akan mula dibanjiri oleh orang ramai yang membuat persiapan Hari Raya.
Bagaimanapun, cerita sebaliknya pula berlaku buat sebuah pusat beli-belah yang pernah menjadi tumpuan utama masyarakat di Seremban, Negeri Sembilan iaitu Terminal One.
BACA LAGI: Jadikan Birmingham muflis sebagai iktibar, ini pro-kontra Malaysia anjur Sukan Komanwel 2026
Foto di internet memaparkan kemeriahan di Terminal One Seremban ketika ia masih dikunjungi orang ramai. — Wiki Commons
Berdasarkan perkongsian daripada seorang pengguna Facebook di Group Seremban pada Sabtu, pusat komersial itu bukan sahaja lengang tanpa pengunjung, malah kebanyakan premis juga kini dilihat kosong tanpa peniaga.
Keadaan menyedihkan itu turut menarik perhatian rata-rata warganet khususnya warga Seremban yang pernah menyaksikan sendiri kemeriahan pusat beli-belah berkenaan yang mula beroperasi pada 1996.
"Tahap ICU (parah) dah ni," ujar Tin Tin.
"Pernah menjadi tempat yang meriah pada penghujung 1990 dan awal 2000," tulis Kashi Sri Maniwannan Ramachandram.
"Sangat sedih. Ini merupakan tempat zaman kanak-kanak saya," tulis Liang Cass Cassadee.
Dalam pada itu, terdapat juga segelintir warganet tampil mempersoalkan bagaimana kawasan yang berada di tempat strategik tersebut boleh berada pada tahap demikian.
Ini kerana pusat beli-belah berkenaan yang kini disifatkan seperti sudah 'mati' betul-betul terletak di sebelah Terminal Bas Seremban.
Di ruangan komen, warganet berkongsikan pandangan mereka terhadap pelbagai punca menyebabkan kemerosotan pusat komersial tersebut antaranya masalah pengurusan dan kadar sewa yang mahal.
BACA LAGI: Ibu bapa terasa kenaikan belanja persediaan sekolah
'
Terminal One terletak betul-betul bersebelahan Terminal Bas Seremban. — Agensi
Pada masa sama, terdapat juga yang membangkitkan mengenai kekurangan perancangan di pihak perbandaran Seremban yang dilihat masih jauh ketinggalan.
"Tempat ini penuh dengan potensi, masalahnya adalah pengurusan. Kena cari operator yang betul. Pengurusan sekarang tak pandai tarik pengunjung," tulis Yaz Yazid.
"Hilang seri terus. Padahal stesen bas tu sebelah sahaja," ujar Azrim.
"Bukan mall je hampeh, terminal bas pun hampeh. Negeri lain dah buat stesen bas, kaunter macam airport. Negeri Sembilan masih di takuk 1990-an. Stesen komuter pun macam zaman 1990-an," kata Amadi Azmi.
"Sunyi sepi Terminal, Seremban seperti bandar koboi," ujar Latima Rani.
Sehubungan itu, warganet meminta agar pentadbiran negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun supaya membuat perancangan bagi menghidupkan kembali lokasi berkenaan.
Malah, mereka turut memberikan beberapa cadangan antaranya menukarkan pusat beli belah kepada Pusat Transformasi Bandar (UTC), atau mengubah suainya menjadi taman hiburan.
Untuk rekod, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook ketika menjadi Menteri Pengangkutan pada 2019 pernah membangkitkan mengenai keperluan menaik taraf bangunan Terminal One bagi memberi keselesaan kepada orang ramai.
Dalam kenyataannya pada 16 Jun 2019, beliau berkata, perbincangan akan dilakukan bersama kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Seremban bagi tujuan tersebut.
Bagaimanapun selepas hampir lima tahun, tiada sebarang perubahan ketara dilihat di kawasan tersebut seperti yang diminta penduduk. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram