KENAIKAN harga barangan yang berlaku turut dirasai oleh ibu bapa yang membuat persediaan bagi sesi persekolahan 2024/2025 yang bermula pada Isnin.
Menerusi tinjauan dilakukan Majoriti sempena hari pertama pembukaan sekolah di Kuala Lumpur, rata-rata ibu bapa mengakui mereka mendapati berlakunya peningkatan kos perbelanjaan kelengkapan sekolah khususnya melibatkan pembelian pakaian.
BACA LAGI : Tiada sesi akademik minggu pertama sekolah bagi tarik minat murid — KPM
Reme Baharudin
Reme Baharudin, 42, berkata, kenaikan itu sememangnya jelas dirasai terutamanya melibatkan perbelanjaan baju uniform.
“Macam baju kurung, baju sahaja pun dekat sampai RM30 hingga RM40 sehelai. Sebelum ini kita boleh dapat RM40 sepasang sekali baju dan kain.
“Tapi sekarang, kita pergi mana-mana pasaraya dia jual asing-asing. Jadi jumlah keseluruhan kain dengan baju sepasang dekat RM90 hingga RM100. Itu baru jenama biasa,” katanya yang mempunyai dua anak masih bersekolah masing berusia 12 dan lapan tahun.
Remi merupakan pemandu lori berkata, peningkatan itu tetap dirasai meskipun dia membuat persediaan awal dengan membeli pada tiga minggu sebelum sekolah dibuka.
Turut sependapat ialah Mohd Rabani Ahmad Jamil, 36, yang berkata, meskipun tidak begitu mendadak, kenaikan tersebut tetap dirasai dalam perbelanjaan sekolah kali ini.
“Walaupun tidak ketara, dia naik keseluruhannya dalam RM100 ke RM200. Contoh beg dulu kita dapat dalam RM50 lebih, sekarang RM80 lebih. Jadi setiap barang termasuk macam kasut dia naik sikit-sikit,” katanya.
BACA LAGI : Kerajaan mahu perkenal sekolah khas untuk golongan paling miskin — PM
Mohd Rabani Ahmad Jamil
Sementara itu, Abdullah Wafi Mohd Salleh, 30, kos persiapan sekolah kali ini terasa sedikit membebankan kerana ia berlangsung pada waktu negara akan turut melakukan persediaan untuk berpuasa dan menyambut hari raya.
“Untuk saya yang ada anak tiga orang bersekolah (masing-masing sembilan, tujuh dan lima tahun), memang agak terasa,” ujarnya yang bekerja sebagai penghantar e-hailing.
Abdullah Wafi Mohd Salleh
Abdullah bagaimanapun mengakui, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 dilihat sedikit meringankan bebannya untuk perbelanjaan berkenaan.
Bagi Siti Farhana Fuad, 36, dia membuat keputusan untuk menggunakan semula beberapa pakaian sekolah pada sesi sebelum ini bagi meringankan perbelanjaan bagi pembukaan sekolah kali ini.
“Tahun lepas banyak pakai baju sukan, jadi untuk baju masih boleh elok untuk dipakai lagi. Jadi untuk kali ini saya beli seluar sahaja,” ujarnya.
Siti Farhana Fuad
Siti Farhana berkata, kenaikan harga barangan keperluan sekolah itu tidak begitu dirasai oleh keluarganya memandangkan dia hanya mempunyai dua anak yang masih bersekolah.
“Ada rasa kenaikan, tapi kami Alhamdulillah tak rasa sangat sebab anak pun baru dua orang yang bersekolah.
“Tapi ada kawan yang lima orang anak masih bersekolah, dia cerita memang agak sukar juga. Buku sahaja dia kena belanja RM700 lebih,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram