KURANG ajar, hanya itulah perkataan yang diungkapkan warga maya selepas melihat video sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux menghalang laluan ambulans baru-baru ini.
Manakan tidak, melalui video yang dimuat naik Iwan Affie, pemandu kenderaan tersebut didakwa sengaja menghalang laluan ambulans berkenaan walaupun keadaan di lebuh raya tersebut agak lengang.
"Halang laluan ambulans dan duduk di laluan kanan terlalu lama tanpa memotong mana-mana kereta," tulisnya.
Namun, tidak dinyatakan lokasi dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.
Melalui video berdurasi seminit itu, jelas kelihatan pemandu berkenaan tidak memberi laluan kepada ambulans tersebut walaupun siren kecemasan telah dibunyikan beberapa kali.
BACA LAGI: [VIDEO] Luluh hati isteri, suami meninggal dunia gara-gara pemandu bongkak halang laluan ambulans
Pada masa sama, individu berkenaan turut mendakwa pemandu trak pikap bersama dua lagi rakannya siap bergelak ketawa selepas memberi laluan kepada ambulans itu.
"Selepas kami potong, kami nampak mereka bertiga ketawakan kami," tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa marah.
"Boleh pula mereka ketawa, biadab sangat. Jangan buat orang, suatu hari nanti orang lain pula buat pada kau atau keluarga kau. Baru kau tahu nak maki macam mana," tulis Suryza Naz.
Sementara itu, seorang lagi warga maya Helmi Arshad berharap agar pihak berkuasa dapat mengenakan undang-undang yang lebih berat terhadap pemandu tersebut.
"Wujudkan undang-undang yang lebih 'berat'. Banyak sangat kes melibatkan pemandu seperti ini. Lihat sahaja kejadian di Sarawak tempoh hari, sampai meninggal pesakit," tulisnya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak yang terlibat mahupun pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram