TINDAKAN mencium Hajar Aswad yang terletak di Kaabah dalam keadaan menyebabkan kesakitan dan membahayakan diri sendiri serta orang adalah satu perbuatan yang haram.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, meskipun amalan mencium batu adalah satu ibadah, ia bukanlah satu kewajipan.
"Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium Hajar Aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium Hajar Aswad adalah sunat.
"Bahkan di sisi ulama Syafi’iyyah, hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium Hajar Aswad kecuali keadaan di mataf agak lengang.
"Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium Hajar Aswad adalah haram," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya yang bertajuk 'Umrah Adalah Ibadah, Bukan Pelancongan 'Kerohanian'.
Beliau yang juga Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu dipercayai mengulas tindakan seorang pempengaruh media sosial dari Malaysia, Hafiz Mahamad yang tular selepas berhimpit dalam kesesakan orang ramai di hadapan Kaabah untuk mencium Hajar Aswad.
BACA LAGI: Amalan 'power' sebelum, selepas solat zuhur untuk peroleh kedudukan tinggi di sisi ALLAH
Alhamdulillah hafiz mahamad dapat cium batu hajar aswad walaupun strugle sampai terbuka kain ihram. pic.twitter.com/a6GMenvX5o
— ISU SEMASA VIRAL (@isusemasaviral) March 3, 2024
BACA LAGI: [VIDEO] Air rendaman ayat ruqyah dalam kertas boleh diminum asalkan tidak memudaratkan — Mufti
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, sekiranya menghadapi kekangan untuk melakukan ibadah tersebut, adalah cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan.
Ujarnya, ia sama seperti yang disebutkan Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari.
Dalam pada itu, Zulkifli turut menegur trend dilakukan beberapa pihak yang merakam ibadah dilakukan ketika berada di tanah suci Mekah.
"Agak janggal bila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya.
"Saya juga lihat perkembangan mutakhir ini, ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau Hajar Aswad di media sosial.
"Jika ia hanya sekadar 'trend' untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah 'trend' yang merugikan itu," katanya.
Di dalam video tular terbabit, pempengaruh berkenaan yang berpakaian ihram dipercayai berusaha menahan orang ramai yang bersesak di berdekatan Hajar Aswad bagi memberi ruang kepada sekumpulan wanita untuk mencium batu suci tersebut.
Berdasarkan klip itu, kumpulan wanita terbabit bagaimanapun dilihat berada dalam keadaan kesakitan selepas terhimpit dengan jemaah lain yang turut berebut hendak menghampiri Hajar Aswad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram