PENEGASAN pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh bahawa skuad Tok Gajah bakal memberi saingan musim depan dituruti dengan kesibukan sepanjang jendela perpindahan.
Kehadiran pemain tempatan baharu membolehkan pengendali, Fandi Ahmad memiliki pelbagai pilihan sesuai dengan taktikalnya bagi setiap perlawanan.
Tidak cukup dengan itu, kelab Pantai Timur berkenaan turut membawa masuk Manuel Hidalgo dan Mykola Ahapov untuk kuota import dengan bek tengah, Aleksandar Cvetkovic dijangka tiba tak lama lagi.
Melihat kepada skuad mereka ketika ini, saingan hebat boleh diberikan Sri Pahang FC yang hanya mengakhiri kempen Liga Super 2023 di tangga kelima.
Bagaimanapun, di sebalik persiapan rapi itu, penyokong pasukan tersebut sedikit kecewa dengan mutu serta kualiti fasiliti latihan kelab berkenaan.
BACA LAGI: Antara Seladang dan Tok Gajah, mana satu pilihan ideal Shahrel Fikri
Kualiti skuad Tok Gajah sudah semakin mantap sekiranya hendak dibandingkan dengan musim lalu. — Facebook/Sri Pahang FC
Isu yang bukan lagi baru itu sering disuarakan mereka di laman media sosial apabila orang ramai mahu penambahbaikan dibuat demi reputasi pasukan.
Topik berkenaan sekali lagi dibangkitkan pada sesi latihan pramusim selepas penyokong menyedari persiapan skuad Tok Gajah masih belum sempurna.
Malah, bagi seorang pengguna Facebook menerusi akaun Panthera Tigris Jacksoni, masalah itu sepatutnya tidak lagi bangkit kerana Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Datuk Suffian Awang pernah menjanjikan sebuah pusat latihan serba lengkap.
"Tu dia pusat Latihan kita yang siap dibina menggunakan teknologi terkini di mana jaring gol boleh digantung tanpa perlu ada cangkuk pada tiang gol," tulisnya dengan nada sinis.
Hantaran itu dibuat berserta satu tangkap layar memaparkan jaring gol tidak dipasang dengan betul ketika sesi latihan berlangsung.
BACA LAGI: Tiada angin tiada ribut, import Tok Gajah kemas beg balik kampung, bukan pergi kelab Borneo
Kenyataan Suffian pada 2021 yang mahu membangunkan sebuah pusat latihan berkualiti untuk skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Keluhan terbabit turut disokong penyokong lain yang juga kecewa dengan mutu fasiliti Sri Pahang FC dengan masing-masing menyuarakan hal itu dalam nada sinis.
"Bahaya betul pemain Sri Pahang FC, bola belum menerjah jaring, tetapi jaring sudah rabak dahulu," kata Fir Daus.
"Jaring gol yang hanya dipasang sebegitu pun sudah hebat Sri Pahang. Kalau jaring gol standard Eropah, boleh jadi setaraf Bayern Munich agakanya," ujar AyihsAdli Kadri.
"Ini baru latihan pada waktu petang, sudah rabak jaring gol. Kalau dalam permainan yang sebenar, boleh jadi setiap 10 minit jaringkan gol," kata Hamid Nor.
Pemasangan jaring tidak rapi tersebut bukanlah kali pertama isu tersebut disuarakan kerana sebelum ini, penyokong sudah menyedari beberapa masalah lain.
Ketiadaan bilik persalinan yang rapi serta keadaan tidak memuaskan membuatkan orang ramai terus mendesak agar satu pusat latihan dapat dibangunkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram