Lesen memandu MyJPJ sama tapi muka orang lain, apa cerita ni YB Anthony Loke, JPJ?


  • Massa
  • Isnin, 11 Mac 2024

Beberapa warga maya mendakwa turut mengalami situasi sama apabila gambar yang tertera dalam lesen digital mereka bukanlah gambar mereka sendiri. — Orang Awam

MULAI 1 Februari lalu, pengguna jalan raya sudah boleh menikmati kemudahan memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) menerusi aplikasi telefon pintar, MyJPJ.

Hal ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah menjimatkan masa. Walaupun LMM ini tersedia secara digital melalui MyJPJ, namun pengguna jalan raya boleh mendapatkan dokumen yang dicetak secara digital.

Namun, heboh di media sosial pada Isnin apabila seorang wanita, Nurul Nursyakilla Muhamad Nor mendakwa identitinya telah disalahguna dalam aplikasi tersebut.

"Habis... saya buka aplikasi JPJ dan tiba-tiba ada lesen tetapi muka Cina. Nama kad pengenalan (Mykad) dan alamat betul tetapi muka sahaja berbeza," ciapnya di laman X (Twitter).

Tambahnya lagi, dia hanya mengetahui perkara tersebut selepas memuat naik aplikasi berkenaan untuk menyemak lesen L (lesen memandu percubaan) miliknya.

Dia turut memuat naik satu tangkap layar gambar menunjukkan Lesen L miliknya yang tertera muka orang lain.

Dalam gambar lesen digital tersebut jelas menunjukkan wajah wanita berkenaan berbeza.

Meninjau ke ruangan komen hantaran itu, beberapa warga maya mendakwa turut mengalami situasi sama apabila gambar yang tertera dalam lesen digital mereka bukanlah gambar mereka sendiri.

BACA LAGI: Slip lesen memandu jadi perbalahan netizen, ramai kata langkah mundur tapi ada yang 'back up'

BACA LAGI: [VIDEO] Selain MyKad, minta tunjuk aplikasi MySejahtera elak pelancong Indonesia ambil kesempatan beli tiket murah

Dakwa salah seorang mangsa, @Z8988048 pegawai JPJ menyatakan ramai sudah terkena ketika dia hendak mengadu isu berkenaan.

"Sama juga pernah kena, dah pergi JPJ, pegawai itu kata bukan saya seorang sahaja yang pernah terkena," katanya.

Sementara itu, @Azaadnan_ mendakwa adiknya turut mengalami isu yang sama.

"Sama macam adik saya punya. Masa adik saya mendaftar untuk belajar memandu dan bila sudah daftar aplikasi MyJPJ terus keluar gambar yang sama," katanya.

Hantaran tersebut telah meraih perhatian ramai, rata-rata netizen meminta wanita terbabit membuat laporan polis kerana ia dilihat sebagai kes kecurian identiti dan dikhuatiri akan disalah guna untuk tujuan jenayah.

Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook, Khairul Azri turut mempersoalkan isu tersebut dan berharap JPJ serta Menteri Pengankutan memberi jawapan yang kukuh berkenaan isu berkenaan.

"Apa cerita ni? Hanya melalui satu rajutan ciapan di Twitter, kita boleh jumpa bukan satu, bukan dua, tetapi empat orang yang mengaku bahawa melalui aplikasi myJPJ.

"Lesen memandu digital mereka datang dengan gambar individu perempuan cina yang tidak dikenali? Mohon penjelasan segera sebelum benda jadi kecoh.

Rentetan dakwaan tersebut, netizen mendesak menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan JPJ untuk segera memberikan penjelasan berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram