[VIDEO] Juruwang mengandung terkilan ditumbuk pelanggan tak sabar sampai mata kiri bengkak di Johor Bahru


  • 112
  • Isnin, 11 Mac 2024

Tangkap layar CCTV memaparkan seorang pelanggan wanita yang menumbuk muka juruwang di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, Johor pada Sabtu lalu.

SEORANG juruwang wanita terkilan selepas dikasari dan dimalukan di hadapan khalayak ramai ketika sedang bekerja di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, Johor pada Sabtu lalu.

Mangsa yang dipercayai sedang berbadan dua itu ditumbuk oleh seorang pelanggan wanita sehingga menyebabkan kecederaan di mata kiri.

Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook mangsa dengan menggunakan akaun Zuraini Mahmood, tindakan pelanggan tersebut telah mencalarkan maruahnya sebagai pekerja.

BACA LAGI : 'Sayang akan tunggu', isteri mangsa bot karam di Kapit luah sedih suami belum dijumpai

photo_6300572515218603299_y

Laporan polis yang dilakukan susulan kejadian itu. — Facebook/Zuraini Mahmood

Berang dengan tindakan melampau individu terbabit, mangsa juga sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Supaya orang lain boleh hati-hati dengan pelanggan spesis macam ini. Report dah dibuat, tunggu tindakan daripada polis je. Maruah aku tercalar ya sebagai seorang cashier bila pelanggan buat macam ini depan ramai orang.

"Sedangkan itu salah sendiri. Kalau setakat gaduh mulut, boleh terima lagi. Tapi, kau siapa untuk naik tangan dekat muka aku!!! Aku sertakan gambar dan kamera litar tertutup (CCTV)," dakwanya.

BACA LAGI : Ramai akui ketagih manis, Kempen Tolak Gula PERKESO 'jentik' hati golongan muda

Lagi membangkitkan kemarahan apabila mangsa dilakukan sedemikian tanpa mengetahui sebab utama.

"Aku tak tahu apa salah aku sedangkan aku dah terangkan, tapi kau tetiba melenting. Aku memang takkan maafkan orang macam ini ya! Aku tengah mengandung, kau sentuh-sentuh aku," dakwanya lagi.

Dalam laporan polis yang dilakukan di Balai Polis Majidee, Johor Bahru pada hari yang sama, individu berkenaan dikatakan pada awalnya ingin memulangkan salah satu barang dibeli dan diarahkan untuk menunggu sementara.

Namun, secara tiba-tiba, mangsa dimarahi dan ditumbuk selepas pembayaran dilakukan sehingga mengakibatkan mata kirinya bengkak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, polis sudah menerima laporan daripada mangsa (juruwang) dan suspek (pelanggan).

Katanya, mangsa berusia 25 tahun membuat laporan polis pada 6.32 petang Ahad, mendakwa mengalami kecederaan sakit dan bengkak di bahagian bawah mata akibat ditumbuk oleh suspek.

"Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku pada pukul 3.17 Ahad di sebuah premis dalam pusat beli-belah terkenal di Johor Bahru.

"Punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana terpaksa menunggu masa yang agak lama bagi membatalkan pembelian satu barang yang dibeli suspek.

"Suspek juga disahkan sudah membuat laporan di Balai Polis Majidee pada pukul 9.14 malam keesokan harinya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Raub berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 kanun keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram