[VIDEO] ‘Malu dapat, sakit pun dapat’, peragut macam badut tertinggal motor selepas patah balik di Lukut


  • 112
  • Ahad, 10 Mac 2024

Tangkap layar video video memaparkan suspek meragut rantai seorang lelaki yang sedang berjalan di tepi jalan di Lukut pada Sabtu.

TULAR di di laman media sosial memaparkan satu kejadian ragut di Lukut dekat Port Dickson, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Menariknya melalui video yang dikongsikan itu, suspek tertinggal motosikalnya selepas dikejar oleh orang awam.

Kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Melalui video berdurasi 46 saat itu, suspek pada mulanya dilihat meragut rantai seorang lelaki yang sedang berjalan di tepi jalan.

Dia kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian.

Namun, apa yang menjadi 1,001 persoalan dalam kalangan warga maya ialah tindakan suspek yang berpatah balik sehingga membawa padah.

Ketika cuba melarikan diri, dia hilang kawalan lalu terjatuh selepas disergah seorang pejalan kaki.

Pada masa sama, suspek juga hampir dilanggar oleh sebuah kenderaan yang cuba mengejarnya sebelum ini.

Walaupun suspek terjatuh, dia sempat melarikan diri daripada ditangkap oleh orang awam.

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara salah beli rokok, lelaki tetak, benam anak tiri sampai mati

BACA LAGI: [VIDEO] Rider motosikal berkuasa tinggi maut, pemandu Alphard buat U-turn sesuka hati dekat Linkedua di Johor

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Aidi Sham Mohamed mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku di tepi jalan hadapan sebuah kedai makan di Pekan Lukut melibatkan mangsa seorang lelaki berumur 32 tahun.

"Kejadian tersebut berjaya dirakam oleh seorang pemilik kereta melalui papan pemuka kereta dan cuba mengejar suspek tetapi gagal," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Aidi Sham berkata, suspek telah melarikan diri ke kawasan perumahan berdekatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan oleh pihak polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Nurul Nabilah Kamal di talian 013-7488968 atau menghubungi Gerakan IPD Port Dickson di talian 06-6472222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

"Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak menviralkan isu ini yang boleh mengganggu siasatan pihak polis," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram