Masalah kesesakan di CIQ sentiasa berulang, rakyat ‘buta IT’ persoal mana pelan kontingensi


  • Massa
  • Isnin, 11 Mac 2024

Laluan Tambak Johor dan Lin kedua kembali sesak ekoran daripada gangguan sistem M-Bike di kedua-dua laluan zon pemeriksaan motosikal masuk dan keluar pada minggu lalu. — Onn Hafiz

MASALAH kesesakan yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri dekat Johor Bahru, Johor bagaikan isu yang tidak berpenghujung.

Walaupun kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memperbaiki serta menambah baik sistem sedia ada namun isu teknikal melibatkan sistem pelayan komputer atau server di premis itu yang sentiasa berulang.

Hal itu menyebabkan kesesakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Situasi itu lebih teruk khususnya di bahagian Imigresen Malaysia yang menyaksikan rakyat terpaksa bersesak dan menunggu lama menyelesaikan urusan dokumentasi.

Pada minggu lalu, laluan terbabit kembali sesak ekoran daripada gangguan sistem M-Bike di kedua-dua laluan zon pemeriksaan motosikal masuk dan keluar.

BACA LAGI : 'Kepercayaan' ibu bapa antara punca anak guna helmet kualiti rendah — Pakar

GIOXG2ObMAArzjp

Onn Hafiz ketika membuat tinjauan di CIQ di bangunan Sultan Iskandar pada Sabtu lalu. — Onn Hafiz

BACA LAGI : Slip lesen memandu jadi perbalahan netizen, ramai kata langkah mundur tapi ada yang 'back up'

Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, selain daripada gangguan sistem M-Bike, kesesakan itu juga berpunca daripada server terbakar menyebabkan sistem e-gate tergendala.

Katanya, susulan daripada masalah tersebut, pegawai-pegawai imigresen terpaksa dikerahkan ke kaunter manual M-Bike menyebabkan kaunter kereta kekurangan pegawai.

Namun begitu, rata-rata warga maya tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan itu kerana masalah tersebut sering kali berulang dan tiada pelan kontingensi yang dilaksanakan.

"Tiada pelan kontingensi apabila sistem tidak berfungsi. Tiada pegawai Imigresen di sekeliling untuk mengambil inisiatif 'crowd control'," kata @chenwenxiang.

"Kalau 100 kali melawat tapi tiada jalan penyelesaian pun 'sakit' juga. Cuba cari punca asal masalah utama, tak kan nak tunggu Datuk Onn Hafiz datang baru sistem okay? Tak ada sistem kemas kini masalah ke?" tanya @asyrafzin.

"Kasihan server kena jadi kambing hitam. Setiap kali masalah sama terjadi, server yang disalahkan," kata @nurfaizfoat.

"Yang 'buta IT' boleh la percaya asyik-asyik salahkan server, penat macam ni," kata Tegak Tak Percaya.

Terdahulu, media melaporkan Onn Hafiz melawat kawasan tersebut selepas menerima banyak laporan berkenaan masalah kesesakan yang berlaku di kawasan itu daripada orang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram