[VIDEO] Hot Daddy, 2 teman wanita kena dakwa lagi


Hot Daddy Ash (kiri) menimbulkan kontroversi apabila didakwa dijemput menjadi tetamu jemputan rancangan podcast baru-baru ini. — BGTV

SEORANG lelaki dikenali sebagai 'Hot Daddy' dan dua teman wanitanya sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin atas tuduhan menjual video lucah, dua bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh-tertuduh Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli,32, serta dua rakan wanitanya Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didapati menjual rakaman video lucah di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) di Wangsa Maju, antara jam 11.47 dan 11.54 malam, pada 15 Januari lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen pula, Hasli Ikhwan dan Norhidayah didakwa dalam milikan bahan lucah bertentangan kesopanan awam ketika berada di pejabat sama, pukul 4 petang pada 22 Januari lalu.

BACA LAGI : Tetap syarat jangan bagi tertuduh kes mahkamah masuk 'live', podcast — Peguam

BACA LAGI : Jemput 'Hot Daddy Ash' jadi tetamu jemputan podcast, ibu bapa kesal suspek pengedar pornografi dijadikan idola

Kesalahan mengikut Seksyen 5 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Sheryn Yong Shi Yee, manakala tertuduh terbabit diwakili peguam, Mohd Faris Abrar Othman, Mohammed Hissham Ramdzan dan Nurul Aeir S Muhammad Harvian Kamar.

Majistret membenarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tiga tertuduh itu, manakala Hasli Ikhwan dan Norhidayah masing-masing diikat jamin RM5,000 oleh Nor Hasniah.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Januari lalu, Hasli Ikhwan, Norhidayah dan Norshazrina mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali, atas tuduhan mempromosi aktiviti seks untuk keuntungan.

Pendakwaan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun, sebatan dan denda jika disabit kesalahan.

Ketiga-tiga individu itu dilaporkan ditahan pada 17 Januari lalu, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah rumah di Janda Baik, Pahang.

Siasatan polis mendapati suspek menjual video berkenaan dalam aplikasi X dengan harga RM100 dan RM20 masing-masing bagi 200 serta 13 video sebulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram